PARLIMEN: KKM bangunkan sistem Nutri-Grade untuk tentukan jumlah gula dalam minuman

PARLIMEN: KKM bangunkan sistem Nutri-Grade untuk tentukan jumlah gula dalam minuman

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membangunkan sistem pengelasan nutrisi makanan atau gred Nutri-Grade secara mandatori berasaskan jumlah kandungan gula dalam minuman.

Langkah itu bertujuan bagi mengukuhkan kawalan terhadap pengiklanan minuman tinggi gula selain menggalakkan pihak industri dan pengusaha minuman melakukan reformulasi produk untuk mengurangkan kandungan gula.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan sistem gred itu mengambil kira keperluan pindaan terhadap Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya, sistem itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan produk minuman sedia diminum dan seterusnya minuman yang disediakan di premis jualan.

“Melalui pelaksanaan sistem label Nutri-Grade ini, minuman yang dikategorikan dalam gred D (>10 gram jumlah gula/100 mililiter) akan dilarang daripada diiklankan di mana-mana platform.

“Langkah ini merupakan satu nilai tambah bagi pihak kerajaan dalam memperkukuh kawalan terhadap pengiklanan minuman tinggi gula, sekali gus menggalakkan pihak industri dan pengusaha minuman melakukan reformulasi produk bagi mengurangkan kandungan gula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Dr. Dzulkefly menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang memintanya menjelaskan sama ada kementerian bercadang untuk menggunakan sistem pemakanan Nutri-Grade secara holistik seperti diamalkan di Australia dan New Zealand untuk mengurangkan obesiti dan diabetes.

Beliau berkata, sistem gred Nutri-Grade Malaysia akan menumpukan kepada kandungan gula dalam minuman buat masa ini berbanding yang dilaksanakan di Australia dan New Zealand yang melaksanakan pelabelan pemakanan pek hadapan melalui penilaian pelbagai jenis komponen nutrien.

Hal ini, katanya, selaras dengan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 yang menunjukkan peningkatan pengambilan gula dalam kalangan dewasa dan remaja, di mana hampir separuh daripada jumlah pengambilan gula bebas merupakan daripada minuman.

“Namun begitu, Malaysia juga mempunyai sistem pelabelan pek hadapan Logo Pilihan Lebih Sihat atau Healthier Choice Logo(HCL) yang dilaksanakan secara voluntari. HCL menggunakan kriteria pelbagai komponen nutrien bergantung kepada kategori produk.

“Sebagai contoh, bagi kategori bijirin sarapan (breakfast cereal), penilaian dibuat berdasarkan kriteria bagi kandungan jumlah lemak, garam, gula, serat dan peratus bijirin penuh,” katanya.

Sehingga Oktober 2025, katanya, terdapat 1002 produk makanan dan minuman mendapat pengiktirafan HCL.

“Justeru, pelaksanaan sistem penggredan Nutri-Grade dan HCL ini adalah sejajar dengan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia yang bertujuan mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN