SEREMBAN: Isu membabitkan penganjuran program Apa Khabar Mahasiswa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai tidak perlu lagi dipanjangkan memandangkan program berkenaan telah dibatalkan.
Seorang mahasiswa di universiti itu, Muhammad Yusuf Qardawi Ajis, 23, berkata, walaupun isu tersebut mengundang pelbagai reaksi di media sosial, ia tidak seharusnya terus dijadikan bahan perdebatan atau modal politik.
“Program itu sudah dibatalkan, jadi tidak perlulah lagi dijadikan isu. Cukuplah setakat ini kerana pandangan dan kritikan yang disuarakan sebelum ini sudah sampai kepada pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, tular satu poster program Apa Khabar Siswa? yang dikaitkan dengan kehadiran pemimpin kerajaan ketika tempoh peperiksaan universiti serta Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Sunnah (Dengan Kepujian) itu berkata, mahasiswa telah dimaklumkan mengenai pembatalan program tersebut lewat malam semalam.
Katanya, program itu juga digantikan dengan sesi ‘bedah buku’ bersama pempengaruh media sosial manakala pengisian program lain diteruskan seperti yang dirancang.
Dalam pada itu, Muhammad Yusuf berkata, kehadiran tokoh politik ke kampus ketika musim pilihan raya sememangnya mudah mengundang pelbagai persepsi.
Ia lebih-lebih lagi apabila diadakan ketika mahasiswa sedang menghadapi peperiksaan.
“Saya harap USIM tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang.
“Kampus sepatutnya menjadi tempat menuntut ilmu dan bukannya dijadikan medan untuk mencetuskan sentimen politik,” katanya. – UTUSAN










