Syed Saddiq berjaya tamatkan Larian Kesyukuran 170km

Syed Saddiq berjaya tamatkan Larian Kesyukuran 170km

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman dalam misi larian ke Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman menamatkan Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer (km) bermula di Putrajaya apabila tiba di daerah ini pagi tadi.

Syed Saddiq yang memulakan larian pada Khamis lalu tiba di Laman Maharani, di sini pada pukul 9.15 pagi.

Ketibaan Ahli Parlimen Muar itu disambut ribuan penduduk setempat yang setia menanti sejak pukul 8 pagi.

Larian terakhir dari Simpang Sungai Rambai sejauh 17 kilometer mengambil masa lebih dua jam sebelum tiba di lokasi penamat tersebut.

Pada 13 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan membebaskan Syed Saddiq daripada dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta dan dua kesalahan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

Misi larian itu bermula dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya menuju ke daerah ini dengan merentasi Negeri Sembilan dan Melaka.

Larian berkenaan turut menjadi simbolik tanda kesyukuran Syed Saddiq selepas melalui prosiding mahkamah untuk membersihkan nama selain membawa matlamat kebajikan bagi membantu penduduk di kawasan Parlimennya.

Dana yang dikumpulkan itu akan digunakan untuk penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan dan pembelian iPad bagi membantu pelajar yang memerlukan akses kepada peranti pembelajaran.

Setakat semalam, larian itu berjaya mengumpul dana RM361,848 dalam tempoh dua hari, melepasi sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN