KUALA LUMPUR: Tahap kesiapsiagaan menghadapi monsun timur laut perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui penyelarasan dan koordinasi rapi antara semua agensi di peringkat negeri dan Persekutuan bagi memastikan langkah persediaan lebih tersusun serta berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan semua pihak terlibat berada dalam keadaan siap siaga khususnya banjir yang dijangka berlaku di beberapa kawasan berisiko tinggi.
Katanya, penyelarasan koordinasi itu sekali gus dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa, kerosakan dokumen penting serta harta benda.
“Walaupun berdasarkan laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan impak monsun tahun ini lebih sederhana, kita tetap perlu bersedia sepenuhnya.
“Kesiapsiagaan mesti dilaksanakan secara menyeluruh melalui koordinasi antara semua agensi supaya tindakan dapat diambil segera apabila berlaku bencana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian SME Venture @ ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama erat masyarakat setempat dan pihak berkuasa di semua peringkat.
Katanya, beliau sendiri turun padang ke Temerloh, Pahang, Isnin lalu bagi meninjau persediaan menghadapi monsun timur laut termasuk memastikan pusat pemindahan sementara (PPS), aset logistik serta keperluan asas berada dalam keadaan bersedia.
“Pengalaman lalu membuktikan bencana seperti banjir besar boleh berlaku tanpa amaran panjang dan oleh itu sistem amaran awal perlu diperkukuhkan.
“Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kini turut memperkukuh sistem amaran awal supaya pemindahan penduduk dapat dilakukan lebih awal sebelum air naik,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 bagi menangani isu banjir termasuk RM460 juta yang disalurkan terus melalui Nadma untuk pelaksanaan langkah kesiapsiagaan dan pengurusan bencana.
Katanya, aspek pelaksanaan dan koordinasi antara agensi jauh lebih penting daripada jumlah peruntukan semata-mata.
“Apa yang penting ialah keberkesanan pelaksanaan dan penerimaan masyarakat terhadap langkah kerajaan.
“Dalam menghadapi bencana, tidak wajar ada perbezaan pandangan politik. Kita mesti bersatu tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat khususnya di kawasan berisiko tinggi atau ‘red spot’ agar berkerjasama dengan Nadma serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah untuk memastikan gerak kerja menghadapi bencana dapat dijalankan dengan lebih efisien.
Beliau berkata, berdasarkan ucapannya pada ASEAN Disaster Management Conference di Phnom Penh, Vietnama yang melaporkan ketika ini lebih 6,000 kejadian bencana besar dan kecil direkodkan di rantau ASEAN setiap tahun.
“Persediaan menyeluruh dan koordinasi yang baik amat penting bagi memastikan negara mampu menghadapi sebarang kemungkinan apabila monsun timur laut mula melanda pantai timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










