Courtois pertahan penjaga gol punca kalah

Courtois pertahan penjaga gol punca kalah

Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne (tengah) sugul selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Sepanyol dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois mempertahankan Senne Lammens selepas kesilapan penjaga gol gantian itu menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada Sepanyol pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026, kelmarin.

Lammens, dimasukkan pada minit ke-71 menggantikan Courtois akibat kecederaan otot, gagal mengawal rembatan jarak jauh Pau Cubarsi sebelum Mikel Merino pantas menyambar bola untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.

Kesilapan itu sekali gus memusnahkan impian Belgium untuk mara ke separuh akhir, namun Courtois enggan menyalahkan Lammens.

“Saya memeluknya dengan erat. Dia seorang penjaga gol yang hebat dan pengalaman seperti ini akan menjadikannya lebih kuat.

“Tidak banyak yang boleh saya katakan kepadanya. Dia mempunyai mentaliti dan perwatakan yang kuat. Saya yakin dia akan bangkit semula.

“Dia akan berehat seketika sebelum kembali ke Manchester dan saya percaya dia akan mengharungi musim yang cemerlang,” katanya.

Dalam masa sama, Courtois mendedahkan dia sebenarnya mahu meneruskan permainan meskipun mengalami kecederaan pada kaki kanan selepas melakukan sepakan jauh pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, pengendali Belgium, Rudi Garcia membuat keputusan mengeluarkannya kerana hanya mahu menggunakan pemain yang berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Sudah tentu saya mahu terus bermain. Saya rasa saya masih mampu beraksi lima atau 10 minit lagi kerana kecederaan itu tidak menjejaskan keupayaan saya melakukan penyelamatan.

“Namun itu keputusan jurulatih dan saya menghormatinya. Sudah tentu saya kecewa kerana terpaksa meninggalkan aksi suku akhir Piala Dunia tetapi ada perkara yang kita tidak mampu ubah,” katanya.

Sementara itu, pertahanan Belgium, Brandon Mechele turut tampil mempertahankan Lammens dengan menyifatkan kesilapan tersebut sebagai pengalaman berharga buat penjaga gol muda berkenaan.

“Ini adalah proses pembelajaran buatnya. Bola itu bukan mudah untuk dikawal kerana ia melantun tepat di hadapannya.

“Kami sebagai pemain pertahanan juga sepatutnya memberikan bantuan yang lebih baik. Sebagai satu pasukan, kami perlu terus menyokong antara satu sama lain dan bangkit bersama,” katanya. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN