IPOH: Keputusan ujian sampel air Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik yang disyaki tercemar selepas airnya bertukar warna seperti air laut dijangka diketahui pada Isnin ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, siasatan sedang dijalankan oleh beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, walaupun keadaan air sungai di kawasan hulu Perak itu dilaporkan kembali kepada warna asal, siasatan tetap diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
“Buat masa ini aduan yang diterima berkaitan air jernih (bertukar warna) dan ia pertama kali dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.
“Siasatan masih dijalankan oleh agensi berkaitan dan saya akan kumpulkan hasil keseluruhan siasatan tersebut. Keputusan sampel air sungai yang dihantar ke Jabatan Kimia juga dijangka diperoleh Isnin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Green Teck Perak 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Pada program berkenaan, Kok Lim bersama Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak turut menanam pokok hutan sebagai simbolik komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai perubahan warna air di hulu Sungai Perak dekat Kampung Sungai Papan, Gerik yang didapati bertukar menjadi biru seperti air laut.
Perubahan warna itu disyaki berpunca daripada kegiatan perlombongan di kawasan bukit berhampiran hulu Sungai Rui yang merupakan salah satu anak sungai membentuk lembangan Sungai Perak. – UTUSAN










