KANGAR: Pemuda Pas negeri menggesa Kementerian Pendidikan mengembalikan kuasa mendisplinkan pelajar kepada guru termasuk hukuman rotan.
Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Haziq Asyraf Dun berkata, hukuman berkenaan selama ini menjadi antara mekanisme penting dalam mendidik dan mendisiplinkan pelajar.
Katanya, tanpa autoriti, guru menjadi tidak berdaya menghadapi pelajar yang semakin berani melawan, membuli, malah ada yang bertindak ganas.
“Kami ingin menegaskan bahawa rotan yang mendidik bukan penderaan. Selama berpuluh tahun, guru menggunakan rotan secara berhemah demi membentuk sahsiah pelajar namun apabila kuasa ini ditarik, pelajar semakin tidak takut dan merasakan tiada lagi batas dalam tindakan mereka.
“Dewan Pemuda Pas Perlis memandang serius kebimbangan yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat berkenaan keselamatan dan disiplin pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk mendidik, membina akhlak dan membentuk masa depan anak-anak, kini semakin tercalar dek peningkatan kes jenayah dan masalah disiplin yang kronik,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Haziq Asyraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri turut mengingatkan pihak kementerian agar menyemak semula pelaksanaan dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di sekolah.
“Prosedur yang lemah, tidak dipatuhi atau tidak dikemaskini hanya membuka ruang kepada kejadian tidak diingini. Kehadiran pengawal keselamatan semata-mata tidak mencukupi jika tiada pemantauan menyeluruh.
“Dewan Pemuda Pas Perlis berdiri teguh bersama guru-guru yang mahukan semula kuasa untuk mendidik dengan tegas dan berhemah.
“Kembalikan maruah institusi pendidikan. Kembalikan kuasa kepada guru,” katanya,-UTUSAN