Kekosongan 293 pegawai perubatan di Sarawak diganti

Kekosongan 293 pegawai perubatan di Sarawak diganti

Ubat tibi
DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggan­ti kekosongan 293 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan di Sarawak namun tidak melaporkan diri untuk bertugas sebelum 1 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ber­kata, ia akan digantikan de­ngan pengambilan seterusnya melibatkan proses pelantikan baharu.

“Ramai (pegawai perubatan) yang merayu untuk tidak pergi (Sarawak) disebabkan alasan tersendiri. Setiap pegawai ada alasan tersendiri.

“Jadi, kita bawa ke peringkat jawatankuasa rayuan dan akan mempertimbangkan semua ra­yuan itu, ada yang diluluskan bergantung keseriusan.

“Apabila pegawai perubatan itu tidak melaporkan diri, maknanya akan berlaku kekosongan. Jadi, kita akan gantikan dengan next batch,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, KKM telah menawarkan 542 jawatan doktor di negeri itu, namun 293 daripadanya tidak hadir melaporkan diri.

Menteri Kesihatan Sarawak, Dr. Sim Kui Hian berkata, sehingga kini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai pe­rubatan di seluruh negeri Sarawak untuk diisi.

“Kami memohon 650 calon mengisi jawatan tersebut. Namun, kami hanya diberikan 542. Daripada jumlah itu, hanya 249 melapor diri untuk bertugas, manakala kira-kira 54 peratus tidak berbuat demikian.

“Jadi, lebih ramai doktor yang gagal melapor diri berbanding yang hadir,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN