KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menarik balik syarat baharu pengimportan kenderaan elektrik (EV) yang telah siap dipasang di luar negara (CBU).
Sebaliknya, jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, langkah itu selaras dengan teras Dasar Automotif Nasional (NAP) yang bertujuan merasionalisasikan kemasukan model EV bagi melengkapkan tawaran produk dalam pasaran.
“Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang seimbang antara menjaga kepentingan pengguna dan membangunkan industri automotif tempatan.
“Pengguna berhak menikmati kenderaan EV yang mampu milik, manakala negara pula memerlukan industri automotif yang kukuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, membangunkan vendor tempatan, menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh rantaian bekalan domestik,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada kerajaan akan menarik balik keputusan untuk menaikkan harga kenderaan elektrik (EV) kerana ia bercanggah dengan dasar kerajaan untuk mempercepat penggunaan EV dalam kalangan rakyat dan hak pengguna untuk memiliki kenderaan EV murah dan mampu milik (bawah RM100,000 atau RM150,000).
Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan tidak menghentikan usaha memperluas penggunaan EV sebaliknya, meneruskan pengecualian 100 peratus duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2027.
“Langkah ini membolehkan pengeluar menawarkan model EV pada harga yang lebih kompetitif, di samping menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan,” katanya.
Pada masa yang sama, kata beliau, kerajaan turut mempercepat pembangunan ekosistem EV melalui perluasan rangkaian kemudahan pengecasan di seluruh negara.
“Pendekatan ini adalah penting kerana kemampuan rakyat memiliki EV bukan sahaja bergantung kepada harga kenderaan, malah turut dipengaruhi oleh kemudahan pengecasan yang mudah diakses.
“Pengalaman industri kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) membuktikan bahawa penerimaan pengguna berkembang seiring dengan kewujudan ekosistem yang kukuh, termasuk sokongan lebih 3,000 stesen minyak di seluruh negara,” katanya.
Justeru katanya, matlamat kerajaan bukan sekadar meningkatkan jualan EV dalam jangka pendek, tetapi membangunkan keseluruhan ekosistem EV secara mampan supaya rakyat dapat menikmati kenderaan yang lebih mampu milik.
Malah katanya, negara akan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan industri, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan teknologi tempatan.-UTUSAN










