KUALA LUMPUR: Pendapatan negara dianggarkan meningkat sekitar RM300 juta bagi setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak mentah dunia, tidak termasuk dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, peningkatan hasil itu sedikit sebanyak membantu kerajaan menampung pertambahan perbelanjaan subsidi bahan api susulan ketidaktentuan harga minyak mentah akibat konflik di Asia Barat.
Beliau berkata, walaupun kenaikan harga minyak dunia meningkatkan beban subsidi kerajaan, ia turut menyumbang kepada pertambahan hasil berkaitan petroleum.
“Walaupun kenaikan harga minyak meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia juga menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum.
“Setiap perubahan sebanyak AS$1 setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak sekitar RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk dividen Petronas.
“Peningkatan hasil ini dapat membantu menampung sebahagian tekanan tambahan terhadap perbelanjaan subsidi bahan api. Kerajaan juga membuat pemantauan prestasi kutipan hasil secara berkala bagi memastikan keupayaan kerajaan menampung keperluan perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta kerajaan menyatakan penilaian terkini terhadap kesan konflik di Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api negara, serta bagaimana peningkatan keseluruhan kos subsidi boleh menjejaskan sasaran defisit fiskal bagi tahun 2026.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, konflik di Asia Barat telah memberi tekanan ketara kepada pasaran tenaga global sehingga menyebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia.
Kata beliau, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026 sebelum jumlah itu melonjak kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia.
“Subsidi pada Mei dan Jun pula menyederhana kepada sekitar RM4 bilion sebulan.
“Sekiranya harga pasaran semasa kekal sehingga hujung tahun, kerajaan dijangka menanggung subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi 2026, tertakluk kepada perkembangan konflik di Asia Barat,” katanya.-UTUSAN










