KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan untuk membina loji jana kuasa nuklear di Malaysia hanya akan dipertimbangkan selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi dan teknologi itu terbukti selamat, berdaya maju serta memberi manfaat kepada negara.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, dalam hal ini pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati menerusi penilaian menyeluruh dan berperingkat berhubung pembangunan tenaga nuklear.
Katanya, PETRA melalui Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPOWER) Corporation yang bertindak sebagai Nuclear Energy Programme Implementing Organisation (NEPIO) sedang melaksanakan penilaian kemprehensif bagi menilai potensi pembangunan program tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik jangka panjang di Malaysia.
“Sebarang keputusan berhubung pembinaan loji jana kuasa nuklear hanya akan dipertimbangkan setelah semua prasyarat berkaitan dipenuhi dan hasil penilaian menunjukkan bahawa teknologi tersebut selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta menteri menyatakan hasil kajian terhadap potensi sumber tenaga rendah karbon alternatif seperti nuklear, biojisim, biogas dan geoterma sebagai pelengkap bagi sumber tenaga boleh baharu sedia ada seperti solar dan hidroelektrik di bawah NTER untuk mengurangkan keterdedahan Malaysia kepada kejutan tenaga luaran.
Abdul Rahman berkata, kerajaan turut mempergiat usaha membangunkan sumber tenaga rendah karbon lain sebagai pelengkap kepada tenaga boleh baharu sedia ada.
Katanya, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengenal pasti potensi penjanaan tenaga daripada Palm Oil Mill (POM) sebanyak 51.88 megawatt (MW) di Semenanjung Malaysia, selain menjalankan kajian sumber geoterma di Ulu Slim, Perak bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
“Walau bagaimanapun, berdasarkan hasil dapatan kajian tersebut, penggerudian eksplorasi perlu dilaksanakan bagi mengesahkan kapasiti sebenar dan kebolehlaksanaan pembangunan sumber geoterma di kawasan tersebut,” katanya.
Jelasnya, kerajaan akan terus mempelbagaikan sumber tenaga rendah karbon dan tidak hanya bergantung kepada satu teknologi bagi menjamin keselamatan bekalan tenaga pada harga yang kompetitif.
Katanya, keutamaan masih diberikan kepada sumber tenaga boleh baharu yang terbukti berkesan seperti solar fotovoltaik (PV), biojisim, biogas dan hidrokuasa.-UTUSAN










