Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya bakal dipinda 

Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya bakal dipinda 

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk meminda Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) dengan memasukkan dadah jenis sintetik baharu New Psychoactive Substances (NPS).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting agar tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pemilikan dan pengedaran dadah sintetik terkini. 

“Begitu juga dengan pindaan Jadual Pertama dan Ketiga Akta Racun 1952 supaya kawalan terhadap prekursor kimia yang digunakan untuk memproses dadah jenis sintetik dapat diperketatkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memainkan peranan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi dengan melaksanakan Program Perhubungan Sekolah (PPS). 

“PDRM menempatkan seorang pegawai bagi sekolah menengah dan seorang anggota bagi sekolah rendah. Terdapat 10,435 PPS di seluruh negara iaitu 7,690 orang di sekolah rendah dan 2,745 orang di sekolah menengah. 

“PDRM turut melaksanakan Modul Kesedaran Jenayah Terhadap Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA) yang turut mengandungi modul kesalahan seksual, buli dan gangsterisme, kesalahan lalulintas, pemerdagangan orang, penipuan dalam talian, kesihatan mental dan penyalahgunaan dadah sebagai panduan kepada PPS semasa menyampaikan teklimat kepada pelajar di sekolah terbabit,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Ranau (BN-Ranau) mengenai langkah yang diambil oleh pihak kementerian bagi membasmi masalah pengedaran dadah di negara ini. 

Saifuddin berkata, kerjasama antara semua pihak tanpa mengira parti politik, bangsa dan agama juga merupakan elemen penting dalam menangani isu dadah di dalam negara. 

Jelasnya, kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, jawatankuasa kemajuan kampung dan komuniti dalam pengkongsian maklumat serta operasi bersama dapat memastikan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Dalam konteks lain, bagi memastikan usaha membanteras ancaman dadah lebih berkesan dan menyeluruh, pihak kementerian juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Tindakan Menangani Ancaman Dadah dan Substan Negara sebagai usaha strategik negara dalam menangani isu dadah secara menyeluruh dan bersepadu. 

“Pelan ini akan dijadikan rujukan utama dalam aspek penguatkuasaan, pencegahan, rawatan, dan pengurusan isu dadah secara umumnya bagi semua agensi berkaitan, termasuk pihak berkuasa penguatkuasaan, institusi kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO), serta pemegang taruh utama seperti masyarakat dan sektor swasta,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN