Jadikan Sarawak model Wilayah Mesra Warga Emas

Jadikan Sarawak model Wilayah Mesra Warga Emas

SIM bersama-sama Fatimah dan tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian SICA 2025 di Kuching, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan Sarawak bermatlamat untuk memperkukuh kerjasama antara agensi agar wilayah ini dapat menjadi model bagi Wilayah Mesra Warga Emas, tempat di mana warga emas dihargai, disokong dan diberdayakan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan juga komited untuk membangunkan dasar penuaan yang inklusif dan menyeluruh, yang dapat meningkatkan kesejahteraan semua warga emas Sarawak tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

Justeru, beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan akan digalakkan untuk mereka bentuk kemudahan, ruang awam dan infrastruktur yang mesra warga emas, memastikan aksesibiliti, keselamatan dan keselesaan untuk semua.

Selain itu, katanya Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti bersama Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak akan terus membina ekosistem sokongan yang menyeluruh, yang memperluas akses penjagaan kesihatan, memperkukuh perkhidmatan sosial serta menambah baik bantuan kewangan dan penjagaan.

“Kesemua inisiatif ini membentuk asas kepada rangka kerja penuaan yang bersepadu, penyayang dan berdaya tahan untuk Sarawak,” katanya menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Sarawak Mengenai Penuaan (SICA) 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah bersama-sama timbalannya, Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam.

Abang Johari turut menegaskan, dasar dan program kerajaan akan terus menumpukan kepada memperkukuh penjagaan berasaskan komuniti dan sistem sokongan sosial serta menggalakkan pembangunan infrastruktur dan persekitaran yang mesra warga emas.

Selain itu, katanya menggalakkan penuaan aktif dan penyertaan sepanjang hayat serta memperluas peluang untuk penyertaan digital dan inovasi kesihatan bagi warga emas.

“Usaha-usaha ini berpaksikan keyakinan bahawa pembangunan mesti berteraskan rakyat dan inklusif, dengan setiap warga tanpa mengira usia dapat hidup dengan maruah dan peluang yang setara.

“Kita mahu Sarawak menjadi tempat di mana rakyat bukan sahaja hidup lebih lama tetapi hidup dengan lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari berkata peningkatan jumlah warga emas di Sarawak merupakan satu tanda kejayaan, namun juga satu seruan untuk bertindak, dengan menuntut dasar yang memperkukuh perlindungan sosial, akses kepada penjagaan kesihatan dan sokongan komuniti.

Katanya penemuan terkini daripada Jabatan Kesihatan mengingatkan tentang cabaran yang dihadapi iaitu penyakit kronik, demensia dan kelemahan fizikal namun pada masa sama menunjukkan potensi besar yang boleh dicapai jika bertindak awal, bekerjasama dengan luas dan berinovasi dengan berani.

“Kita sedang bergerak ke arah pendekatan yang lebih bersepadu terhadap penuaan, menghubungkan kesihatan dan kesejahteraan sosial melalui kerjasama yang lebih rapat antara hospital, penjagaan primer, pusat komuniti dan pihak berkuasa tempatan.

“Melalui inisiatif seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE), perkhidmatan geriatrik komuniti serta program promosi kesihatan, kita memastikan setiap warga emas sama ada di bandar mahupun di luar bandar dapat menua di tempat sendiri dengan penjagaan, hubungan sosial dan sokongan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN