JAKARTA: Seorang pelajar yang terselamat selepas terperangkap selama tiga hari di bawah runtuhan bangunan pondok pengajian Islam Al Khozyni di Sidoarjo, Jawa Timur, hanya berdoa dan bertahan dengan aliran air perlahan yang disalurkan melalui hos pasukan penyelamat.
Al Fatih Cakra Buana, 14, berkata kejadian berlaku ketika dia dan rakan lain menunaikan solat Asar di surau sebelum bangunan pondok tiba-tiba runtuh pada 29 September lalu, menghempap puluhan pelajar.
“Saya dengar bunyi dentuman kuat dan cuba lari, tetapi saya dihimpit oleh runtuhan. Apabila saya sedar, semuanya gelap dan tidak boleh bergerak,” katanya ditemui pemberita di hospital, kelmarin.
Menurut Al Fatih, satu-satunya penghubung dengan dunia luar hanyalah suara samar pasukan penyelamat yang memintanya untuk terus bertahan.
“Mereka beri saya air melalui hos kecil dan suruh saya bersabar. Pada ketika itu, saya sangka tiada siapa yang akan datang menyelamat.
“Tetapi kemudian saya nampak cahaya melalui lubang, ketika itu saya percaya akan hidup,” katanya.
Seorang lagi mangsa terselamat, Nanang Saifur Rizal, 16, berkata kejadian berlaku ketika kerja pembinaan sedang dijalankan di tingkat atas bangunan.
“Ketika rakaat ketiga, tiba-tiba perancah buluh di surau runtuh. Ia terasa seperti gempa bumi,” katanya.
Nanang berkata, kepalanya sempat tersepit di bawah besi sebelum berjaya merangkak keluar kira-kira setengah jam kemudian.
“Saya nampak kawan-kawan mengalami sawan, ada yang langsung tidak boleh bergerak. Saya bernasib baik kerana berada berhampiran lubang kecil,” katanya.
Kelmarin, Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB) mengesahkan mayat yang ditemukan di bawah runtuhan masih belum dapat dikenal pasti memandangkan kebanyakan mangsa adalah di bawah umur tanpa dokumen rasmi, dengan korban kini meningkat 37 orang.- AGENSI










