Garis panduan untuk jaga keharmonian

Garis panduan untuk jaga keharmonian

DR. ABD. GHANI ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Garis panduan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau di seluruh negeri ini berkuatkuasa 1 November ini bertujuan menjaga keharmonian semua masyarakat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Dr. Abd. Ghani Zainuddin berkata, peraturan itu diputuskan dalam satu mesyuarat jawatankuasa Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), bulan lepas.

“Jangan politikkan isu ini kerana keputusan yang dibuat adalah untuk keharmonian semua penduduk tanpa mengira bangsa selain menyera­gamkan penggunaan pembe­sar suara masjid dan surau agar bersesuaian dengan kehendak syarak serta keperluan masyarakat.

“Kami menerima aduan ada masjid yang buka pembesar suara terlalu kuat termasuk pembesar suara dalam masjid sehingga menyebabkan gangguan bunyi kepada penduduk sekitar, tetapi semua aktiviti masjid termasuk kuliah boleh berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan sikap segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu tersebut yang dikhuatiri mencetus rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Syiar Islam disampaikan dengan tata tertib termasuk tidak mengganggu masyarakat sekitar. Jadi kita menetapkan paras bunyi yang selamat dan tidak melebihi tahap dibenarkan mengikut lokasi dan masa.

“Selain itu penggunaan pembesar suara luar hanya dibenarkan untuk tujuan keagamaan seperti azan, khutbah Jumaat, takbir dan pengumuman kecemasan sahaja. Sementara untuk kuliah, ceramah, bacaan al-Quran, zikir dan sebagainya wajar menggunakan speaker dalam,” jelasnya.

Katanya, paras pembesar suara luar yang ditetapkan mengikut garis panduan tersebut adalah tidak melebihi 85 desibel (dBA) pada jarak 100 meter sementara pembesar suara dalam pula tidak melebihi 70 dBA pada jarak satu meter.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN