SHAH ALAM: Paparan video cara menebus subsidi petrol menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) menggunakan MyKad yang ditunjukkan di pam minyak memudahkan pengguna menikmati kemudahan tersebut.
Malah, tinjauan Utusan Malaysia pada hari pertama pelaksanaan inisiatif itu mendapati tiada gangguan atau kesesakan ketara berlaku di stesen-stesen minyak di sekitar pusat bandar ini dan Klang.
Selain itu, pengguna yang mahu mengisi minyak pada harga subsidi turut dibantu oleh pekerja yang memberikan penerangan tambahan kepada pengguna mengenai cara membuat pengesahan identiti.
Kakitangan swasta, Nadhirah Mokhtaruddin, 32, berkata dia tidak begitu pasti mengenai sistem itu kerana kali pertama menggunakannya.
“Namun, mujur ada jurupam membantu membuat penebusan isian minyak itu selain melihat video tutorial di pam minyak. Urusan itu amat mudah dan dapat diselesaikan dalam tempoh hanya kurang dua minit,” katanya ketika ditemui di Setia Alam.
Bagi pereka dalaman, Ahmad Faretz Mohamed Affandi, 40, dia bersyukur sistem itu tidak mengalami gangguan dan tiada berlaku kesesakan luar biasa.
“Mungkin masih ada yang masih keliru membuat penebusan itu kerana ia merupakan sistem baharu dilaksanakan kerajaan.
“Ia rupa-rupanya amat mudah malah stesen minyak juga tidak sesak. Ia akan menjadi rutin harian saya selepas ini,” kata bapa kepada tiga itu.
Sementara itu, jurutera, S. Sakthis, 37, berkata dia membuat pengisian petrol lebih awal bagi mengelak kesesakan terutama pada waktu puncak.
“Bagi saya, sistem sedia ada amat memudahkan pengguna dan diharap tiada berlaku gangguan yang akan merencatkan penebusan,” ujarnya.
Inisiatif BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 akan mula menikmatinya pada 28 September.
Ia diikuti warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai hari ini.
Menerusi inisiatif itu, rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 sebanyak 300 liter dengan RM1.99/liter. – UTUSAN










