Beras tempatan hilang lagi, tiada bekalan sejak Ogos

Beras tempatan hilang lagi, tiada bekalan sejak Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Penduduk di sekitar bandar ini kecewa susulan ketiadaan bekalan beras putih tempatan di pasaran sejak lebih dua bulan lalu.

Tinjauan dilakukan mendapati hampir semua pasar raya dan kedai runcit di sekitar Kluang tidak lagi menerima bekalan beras putih tempatan sejak Ogos lalu.

Keadaan itu menyebabkan pe­ngguna terutama golongan ber­pendapatan rendah terpaksa menanggung peningkatan kos perbelanjaan harian.

Penduduk Kampung Te­ngah, Mohd. Anuar Othman, 58, berkata, harga beras putih tempatan sebelum ini sekitar RM26 sekampit 10 kilogram manakala beras import paling murah pula kini mencecah harga RM32.

“Untuk keluarga besar, seku­rang-kurangnya tiga kampit diperlukan setiap bulan.

“Perbezaan RM18 itu nampak kecil, tetapi ia besar bagi kami yang sudah terbeban dengan kenaikan harga barangan lain seperti minyak masak peket yang juga sukar diperoleh.

“Alasan kononnya beras putih tempatan tidak mendapat sambutan adalah tidak benar. Golongan seperti kami sangat bergantung kepadanya,” kata­nya.

Sementara itu, Rahimah Mohd. Ali, 50, dari Kampung Melayu, berkata pada awalnya penduduk menyangka kekura­ngan itu disebabkan kelewatan bekalan biasa.

Namun, selepas sebulan mencari di pasar raya dan kedai runcit semua memberi jawapan sama iaitu ketiadaan bekalan dihantar.

“Situasi ini menimbulkan tanda tanya besar kepada kami. Beras tempatan ini bukan tidak laku, tetapi ‘hilang’ begitu saja,” katanya.

Sementara itu, sumber dari Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Cawangan Kluang mengesahkan bekalan beras putih tempatan sememangnya dihentikan selepas Program Beras Putih Tempatan (BPT) ditamatkan pada Ogos lalu.

Katanya, situasi itu turut melibatkan seluruh negeri Johor dan Semenanjung Malaysia.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN