SHAH ALAM: Peruntukan RM6 bilion membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kekal sebagai institusi unggul memangkin pembangunan sosioekonomi Bumiputera dan negara.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, pihaknya menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sektor pendidikan tinggi menerusi pembentangan Belanjawan Madani 2026 kelmarin.
Menurutnya, UiTM menyambut baik pengumuman peruntukan keseluruhan RM18.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi termasuk peruntukan khas berjumlah RM6 bilion itu.
“Kami amat menghargai kepercayaan Perdana Menteri terhadap peranan universiti ini dalam memacu kecemerlangan pendidikan Bumiputera.
“UiTM komited memastikan setiap peruntukan yang disalurkan itu dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh infrastruktur, kebajikan pelajar dan keupayaan akademik serta
penyelidikan,” katanya, hari ini.
Kelmarin, Anwar mengumumkan peruntukan RM6 bilion itu kepada UiTM, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Peneraju bagi memperluas peluang pendidikan kepada pelajar Bumiputera tahun depan.
Menurut Shahrin, sokongan kerajaan itu akan memberi impak terhadap usaha universiti memperluas akses pendidikan tinggi kepada lebih ramai pelajar luar bandar.
“Selain itu, ia memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan mahasiswa melalui pelbagai inisiatif bantuan serta kemudahan kampus.
“Kami turut menghargai Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperjuangkan keperluan universiti awam termasuk UiTM,” ujarnya.
Kata beliau, keprihatinan kerajaan turut membuktikan kesungguhan dalam memperkasakan ekosistem pendidikan Bumiputera yang inklusif dan mampan.
“UiTM akan terus memainkan peranan strategik sebagai institusi peneraju pembangunan modal insan Bumiputera yang berdaya saing dan berintegriti tinggi.
“Amanah besar itu akan kami teruskan seiring dengan aspirasi Belanjawan Madani untuk membina masyarakat berilmu, sejahtera dan berdaya tahan,” katanya.
Tambah Shahrin, peruntukan itu akan memperkukuh keupayaan universiti dalam melaksanakan misi melahirkan graduan berilmu, beretika dan berdaya saing global. – UTUSAN










