KUALA LUMPUR: Thailand kekal dengan pendirian untuk mempertahankan prinsip multilateralisme dan sistem antarabangsa berasaskan peraturan sebagai asas utama dalam menjamin keamanan serta kestabilan dunia.
Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Maratee Nalita Andamo berkata, Bangkok percaya hanya melalui multilateralisme dan dialog terbuka, negara-negara dapat menangani pelbagai krisis serantau dengan lebih berkesan termasuk konflik di Gaza, Laut China Selatan dan Ukraine.
“Thailand komited terhadap pendekatan berasaskan undang-undang antarabangsa serta menolak sebarang tindakan unilateral yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya ketika sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Menurut beliau, Thailand akan terus memainkan peranan aktif dalam ASEAN sebagai pengantara antara kuasa besar dunia bagi memperkukuh diplomasi serantau dan memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon aman, stabil dan makmur.
Katanya, Bangkok juga percaya peranan ASEAN amat penting dalam mengekalkan keseimbangan strategik antara kuasa besar serta memperkukuh perpaduan serantau dalam menghadapi landskap geopolitik yang semakin kompleks.
“Pendekatan multilateralisme kekal penting bagi mengekalkan keseimbangan strategik di rantau ini sekali gus mengelakkan Asia Tenggara daripada menjadi medan persaingan kuasa besar.
“Thailand juga menyokong peranan ASEAN sebagai platform dialog dan kerjasama bagi menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini,” katanya. – UTUSAN










