‘Apa nasib kami tengkujuh kali ini?’

‘Apa nasib kami tengkujuh kali ini?’

KAWASAN lapang atau alur di sekitar rumah penduduk yang berdepan masalah banjir termenung ditumbuhi rumput tebal di Kampung Rawai, Marang, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kira-kira 50 pendu­duk di Kampung Rawai, di sini, resah memikirkan nasib mereka yang berisiko berdepan masalah banjir termenung menjelang kedatangan musim tengkujuh tidak lama lagi, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Semasa Monsun Timur Laut (MTL) tahun lalu, mereka menghadapi masalah banjir terme­nung yang berlarutan lebih sebulan sehingga sukar menjalankan aktiviti harian ekoran halaman rumah digenangi air.

Lebih meresahkan, kawasan lapang atau alur di sekitar rumah mereka kini ditumbuhi rumput panjang sekali gus dikhuatiri tidak mampu menampung taburan air hujan lebat walaupun berlaku dalam masa singkat.

Seorang penduduk, Sauqi Azmi, 25, berkata, masalah banjir termenung yang berlaku saban tahun di kawasan perumahan berkenaan kerana ia terletak di lokasi rendah menyebabkan air mudah bertakung.

“Apabila hujan reda dan banjir surut, kawasan ini masih digenangi air sehingga lebih sebulan kerana air lambat mengalir keluar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, projek pembinaan longkang bernilai RM300,000 dilaporkan dijalankan di Kampung Rawai dan kawasan sekitarnya sebagai inisia­tif mengatasi masalah banjir termasuk banjir termenung yang membelenggu kira-kira 50 penduduk berkenaan.

Ia adalah langkah penyele­saian jangka masa panjang setelah pembinaan longkang bernilai RM4,000 yang dibuat sebelum itu tidak dapat mengatasi masalah tersebut.

Seorang penduduk yang ha­nya mahu dikenali sebagai Nur berkata, dia khuatir projek pembinaan longkang itu tidak mampu mengatasi masalah berkenaan kerana air tetap cepat naik dan bertakung setiap kali hujan lebat berterusan di situ.

Katanya, masalah berkenaan semakin serius sejak sembilan tahun lalu yang mana pada mulanya hanya air ‘termenung’ beberapa hari sahaja namun sejak tahun-tahun kebelakangan ini berlarutan melebihi sebulan.

“Jika masalah ini berulang pasti menyusahkan penduduk terutama 11 keluarga terlibat yang sekian lama menantikannya berakhir. Penduduk bakal berdepan pelbagai kesukaran menjalani kehidupan seharian. Harap banjir termenung tidak berulang tahun ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN