PETALING JAYA: Pengiktirafan Top Glove Corporation Bhd sebagai antara organisasi terbaik dalam kategori pembuatan di Anugerah Perniagaan ASEAN (ABA) 2025, memperkukuh kedudukannya sebagai pemain penting dalam landskap perindustrian ASEAN.
Ia juga mengesahkan komitmen Syarikat untuk terus memajukan kecemerlangan dan kelestarian pembuatan di peringkat serantau dan global.
Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, beliau berbangga dengan pengiktirafan itu yang mencerminkan komitmen berterusan Top Glove terhadap penambahbaikan, inovasi dan kelestarian.
“Ia juga merupakan penghargaan kepada semua warga kerja Top Glove yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam mendorong kemajuan dan kecemerlangan berterusan di seluruh operasi kami.
“Kedudukan Top Glove dalam kelompok tiga teratas ini menegaskan peranan kami sebagai peneraju dalam pengeluaran yang lestari dan cekap, hasil tumpuan berterusan terhadap automasi, transformasi digital dan amalan pengeluaran bertanggungjawab”, katanya dalam kenyataan.
Top Glove, pengeluar sarung tangan terbesar di dunia diumumkan sebagai satu daripada tiga organisasi terbaik dalam kategori pembuatan pada ABA 2025, yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2025 di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan keyakinan bahawa Syarikat berada di landasan yang betul.
“Berdiri seiring dengan pengeluar terkemuka ASEAN lain, kami yakin ia akan terus mendorong kami memperkukuh kecekapan operasi dan agenda kelestarian supaya dapat terus belajar, menyesuaikan diri dan memberi impak positif kepada industri serta komuniti,” katanya. – UTUSAN










