200,000 pengundi Sabah di Semenanjung minta undi pos

200,000 pengundi Sabah di Semenanjung minta undi pos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 200,000 pengundi Sabah yang kini berada di Semenanjung Malaysia berisiko tidak dapat menunaikan tanggungjawab me­ngundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang sekiranya sistem undi pos tidak dilaksanakan segera.

Perkara itu disuarakan oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyatakan kebimbangan terhadap laporan SEEN Sabah mengenai isu berkenaan.

Katanya, jumlah hampir 200,000 pengundi tersebut mewakili sekitar 12.6 peratus daripada keseluruhan 1.7 juta pe­ngundi berdaftar di Sabah iaitu merupakan angka yang disifatkan cukup besar untuk mempengaruhi corak politik negeri.

“Ketidakmampuan rakyat Sa­bah untuk mengundi bukan sekadar isu logistik, tetapi isu hak asasi dan demokrasi.

“Sistem pilihan raya sepatutnya memberi ruang kepada semua warganegara untuk bersuara tanpa sekatan geografi atau kekangan kewangan untuk pulang ke negeri asal semata-mata bagi mengundi,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Mereka berkata, demografi pengundi di Sabah banyak terdiri daripada golongan warga emas dan pesara, manakala majoriti anak muda Sabah berada di Semenanjung untuk melanjutkan pelajaran atau bekerja.

“Apabila sistem undi pos dinafikan, suara anak muda inilah yang terpadam. Ironinya, golongan pa­ling terkesan oleh dasar kerajaan negeri tidak berpeluang menentukan hala tuju negeri mereka sendiri,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, SPR digesa tidak menafikan hak rakyat Sabah dan Sarawak yang merantau ke Semenanjung untuk turut mengundi melalui kaedah undi pos dalam PRN akan datang.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, keperluan untuk memperluas undi pos bagi pengundi dua wilayah itu bukan perkara baharu, malah telah disuarakan pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sejak PRN Sarawak 2011.

“Bagaimanapun, suara rak­yat Borneo terus tidak diendahkan oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tanpa mengira parti yang memerintah serta SPR sendiri selepas 14 tahun melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dan enam PRN berlalu.

“Sudah terlalu lama pengundi Borneo dipinggirkan. Ramai anak Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung terpaksa menanggung kos tinggi untuk pulang mengundi, atau akhirnya melepaskan hak mereka kerana tidak mampu.

“Ditegaskan, hak mengundi adalah asas kepada demokrasi dan tiada rakyat Malaysia wajar dinafikan peluang tersebut hanya kerana jarak geografi atau kesempitan hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, sudah tiba ma­sa hak mengundi rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di luar negeri asal mereka dihormati dan diselesaikan dengan adil oleh SPR serta kerajaan.

Katanya, Bersih turut menyeru semua parti politik yang bakal bertanding dalam PRN Sabah untuk menyatakan komitmen dalam manifesto masing-masing bagi memperjuangkan hak undi pos kepada pengundi perantau Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×