PETALING JAYA: Sindiket penipuan kini dikesan memperdaya mangsa dengan menghantar nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kad kredit dan debit bagi ‘merompak’ wang dalam bank dengan jumlah tertentu.
Difahamkan, scammer akan cuba masuk ke akaun perbankan dalam talian atau memasukkan nombor kad bank secara rawak sebelum mangsa menerima notifikasi TAC melalui mesej atau notifikasi perbankan bagi memaklumkan wang ditolak.
Malah, mesej itu dilihat seakan sama dengan notifikasi yang dihantar pihak bank dipercayai bagi mengelirukan mangsa.
Itu dialami seorang penjawat awam yang ingin dikenali sebagai Hatim apabila kerugian hampir RM2,000 melalui beberapa transaksi melalui kad debit miliknya pada April lalu.
Dia mendakwa menerima notifikasi TAC bag kad debitnya dengan menolak wang kira-kira RM450 sebanyak empat transaksi.
“Apabila saya klik pada notifikasi itu untuk lihat apa punca wang saya ditolak dan saya mendapati untuk kegunaan PAYPAL *GUMROAD BA BA yang saya tidak pernah buat sebarang transaksi.
“Walaupun jumlahnya tidak banyak seperti nilai kerugian hingga berjuta-juta namun bagi penjawat awam seperti saya jumlah itu boleh menampung perbelanjaan rumah selama dua bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, dia terus menghubungi pihak bank berkenaan perkara itu bagi membatalkan kad debitnya. Namun wang itu tidak dapat diperoleh sehingga kini kerana ia membabitkan kad debit bagi bank simpanan miliknya,” katanya.
Seorang lagi mangsa, pekerja swasta, Najwa Rashid, 27, berkata, dia turut mendapat notifikasi yang sama membabitkan modus operandi penipuan itu pada Julai lalu.
“Saya dapat notifikasi transaksi kad kredit saya dicaj RM177.85 bagi PAYPAL *GUMROAD BA BA walhal tiada sebarang urusan dibuat menggunakan medium itu.
“Malah sebenarnya itu merupakan mesej kali kedua saya terima. Malam sebelumnya ada juga dapat mesej sama cuma saya tidak klik namun esoknya saya klik kerana notifikasi itu sama seperti daripada pihak bank namun tidak sangka ia scammer.
“Selepas mendapati ia antara modus operandi scammer, saya terus membatalkan kad berkenaan dan turut bernasib baik kerana ia dikenakan pada kad kredit jadi wang itu dapat dikembalikan semula,” katanya.-UTUSAN.










