Trump bangga dakwa diri pendamai, berjaya tamatkan tujuh perang

Trump bangga dakwa diri pendamai, berjaya tamatkan tujuh perang

DONALD Trump (tengah) berganding tangan dengan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev (kiri) dan Perdana Menter Armenia, Nikol Pashinyan semasa majlis di State Dining Room, Rumah Putih di Washington pada 8 Ogos lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendabik dada di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), mendakwa beliau berjaya menamatkan tujuh peperangan yang lama berlarutan, sambil memperlekeh badan tersebut konon hanya mampu mengeluarkan surat kecaman tanpa tindakan.

Trump yang sering menganggap dirinya sebagai pendamai global ketika berkempen bagi anugerah Nobel Keamanan, turut memperlekehkan peranan PBB yang menurutnya langsung tidak cuba membantu dalam mana-mana konflik tersebut.

“Saya menamatkan tujuh perang, dan kesemuanya ketika itu sedang marak, dengan beribu-ribu nyawa terkorban. Malangnya, saya terpaksa melakukannya dan bukannya PBB.

“Apa tujuan PBB sebenarnya? Badan ini, hanya menulis surat bantahan yang keras, tetapi tidak pernah merealisasikan tindakan lanjut,” katanya.

Menerusi beberapa insiden yang didakwa Trump sebagai kejayaan damai, pihak bertelagah mengiktiraf peranannya dalam meredakan ketegangan atau membawa perbincangan ke arah perjanjian damai.

Malah dalam dua peperangan utama di Gaza dan Ukraine usahanya setakat ini gagal membuahkan hasil meskipun beliau berkali-kali menetapkan tarikh akhir, mengeluarkan ancaman dan berjanji untuk mendapatkan persetujuan gencatan senjata.

Kegagalannya mendapatkan sebarang perjanjian di Asia Barat dan Ukraine itu bagaimanapun tidak menghalang Trump daripada menuntut penghargaan mengenai konflik yang didakwanya sudah ditamatkan meskipun peranannya dipertikai atau kurang jelas.

Armenia dan Azerbaijan

Trump membawa Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan ke Rumah Putih pada Ogos lalu untuk menandatangani deklarasi bersama bagi mendekatkan usaha menamatkan konflik yang berlarutan sejak 1980-an.

Walaupun bukan perjanjian damai, ia merupakan komitmen pertama sejak tercetusnya keganasan beberapa dekad lalu.

Kedua-dua pemimpin memuji campur tangan Trump, namun Azerbaijan masih menuntut Armenia mengubah perlembagaannya bagi memadam rujukan kepada wilayah Nagorno-Karabakh yang dipertikaikan.

Azerbaijan juga terus menduduki sebahagian kecil wilayah Armenia atas alasan keselamatan, dan kedua-dua negara belum bersetuju mengenai sempadan bersama.

Congo dan Rwanda

Pada Jun lalu, menteri luar Rwanda dan Congo menandatangani perjanjian damai di Pejabat Oval, Washington, untuk menamatkan perang yang berlarutan lebih 30 tahun.

Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai kejayaannya yang paling gemilang.

Namun rundingan ke arah perjanjian komprehensif sejak itu terhenti, dan pertempuran berdarah masih berlanjutan.

India dan Pakistan

Trump mendakwa beliau berjaya menjadi perantara dalam menamatkan konflik ketenteraan antara India dan Pakistan, dua kuasa nuklear, yang meletus semula Mei lalu selepas serangan pengganas di Kashmir mengorbankan 26 orang awam.

India mengakui AS memainkan peranan sebagai perantara, tetapi menegaskan ia berunding secara langsung dengan Pakistan untuk menamatkan pertempuran.

India mendakwa Pakistan terpaksa meminta rundingan gencatan senjata kerana tekanan serangan tenteranya. Pakistan menafikan perkara itu tetapi berterima kasih kepada Trump atas bantuannya.

Perbezaan naratif itu menambah ketegangan dalam hubungan Washington-New Delhi, yang turut meruncing akibat perang perdagangan dicetuskan Trump melibatkan pembelian minyak dari Russia.

Israel dan Iran

Selepas 12 hari serangan tentera, termasuk serangan AS ke atas tapak nuklear Iran pada Jun, Trump secara tiba-tiba mengumumkan persetujuan gencatan senjata. Beliau mendakwa AS menjadi perantara dan Israel membatalkan serangan udara atas arahannya.

Kedua-dua pihak tidak menolak peranan AS, tetapi ketahanan perjanjian itu masih diragui.

Risikan AS menegaskan serangan itu merosakkan teruk kemudahan pengayaan uranium Iran, namun pakar percaya Teheran mampu meneruskan aktiviti itu di lokasi lain.

Israel dan AS sama-sama berikrar tidak akan membiarkan Iran memiliki senjata nuklear.

Kemboja dan Thailand

Kedua-dua jiran Asia Tenggara itu terbabit dalam pertempuran di sempadan pada musim panas lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 42 orang dan memaksa lebih 300,000 penduduk berpindah, sekali gus menjadikannya konflik paling berdarah antara mereka dalam beberapa dekad.

Ketika itu, pentadbiran Trump sedang mengadakan rundingan perdagangan dengan beberapa negara dan beliau mengambil kesempatan daripada situasi itu.

Trump memberi amaran kepada pemimpin Thailand dan Kemboja rundingan itu akan dihentikan jika mereka tidak bersetuju dengan gencatan senjata.

Dua hari kemudian, pegawai kedua-dua negara bertemu di Malaysia dalam rundingan anjuran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan AS, lalu mencapai persetujuan untuk menghentikan pertempuran.

Bagaimanapun, pengkritik berkata, campur tangan Trump tidak menyentuh punca utama konflik tersebut.

Mesir dan Ethiopia

Mesir dan Ethiopia tidak terbabit konflik bersenjata, tetapi pertikaian diplomatik mengenai empangan hidroelektrik terbesar Afrika menimbulkan kebimbangan perang boleh tercetus.

Diplomasi yang digembar-gemburkan Trump setakat ini dilihat gagal menyelesaikan isu berkenaan.

Ethiopia mengumumkan empangan itu siap dan dirasmikan pada September, meskipun Mesir dan Sudan menentang projek tersebut kerana bimbang ia akan mengehadkan aliran Sungai Nil ke negara mereka.

Kosovo dan Serbia

Trump turut menyebut Kosovo dan Serbia dalam ucapannya.

Pada 2020, kedua-dua negara menandatangani perjanjian untuk menggalakkan kerjasama ekonomi di Pejabat Oval namun, perjanjian damai masih belum dimeterai.

Pertikaian berpunca daripada status Kosovo yang mengisytiharkan kemerdekaan 15 tahun lalu, hampir sedekad selepas kempen pengeboman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 1999 yang menghalau tentera Serbia daripada wilayah itu.

Walaupun Kosovo diiktiraf oleh AS dan banyak negara Eropah, Serbia serta sekutu utamanya, Russia dan China, tetap menolak kemerdekaan Kosovo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN