KUALA LUMPUR: Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mesti kekal sebagai peringatan jelas terhadap kegagalan mekanisme pengawasan, tatakelola dan tadbir urus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skandal bernilai berbilion ringgit itu bukan sekadar melibatkan kerugian kewangan, tetapi turut mendedahkan kelemahan sistemik dalam aspek kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti institusi.
Beliau berkata, situasi itu perlu dilihat sebagai satu cabaran dan berusaha menyelamatkan negara daripada penyelewengan besar seperti itu.
“Kita telah menyaksikan sebelum ini, syarikat audit ternama dan agensi penarafan yang terkenal turut disiasat kerana kurangnya integriti dan keterlibatan mereka dalam penyelewengan yang didorong oleh ketamakan.
“Seperti yang telah kita alami dalam banyak skandal kewangan terdahulu, termasuk skandal 1MDB yang terkenal, ia tidak mungkin berlaku tanpa keterlibatan para juruaudit, juruaudit dalaman serta institusi kewangan antarabangsa.
“Kita mesti melihat perkara ini sebagai satu cabaran, dan berusaha menyelamatkan masyarakat dan negara kita daripada penyelewengan seperti ini,” katanya semasa merasmikan Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Anwar berkata, audit dalaman merupakan elemen penting dalam usaha membanteras ketirisan, penyelewengan dan rasuah, khususnya dalam memastikan tadbir urus yang baik dalam sektor awam dan swasta.
Katanya, ruang seluas-luasnya diberikan kepada agensi-agensi berkaitan agar jentera kerajaan dapat diawasi dengan lebih dekat dan melibatkan kerjasama erat daripada Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta syarikat-syarikat swasta.
Katanya, pelaksanaan audit dalaman yang menyeluruh dan berkesan adalah satu keperluan penting sekiranya negara serius mahu menyelesaikan permasalahan besar seperti rasuah dan kegagalan tatakelola.
“Jika kita benar-benar serius mahu mengatasi masalah besar iaitu ketirisan, keterlanjuran dan rasuah, maka audit dalaman adalah penting. Ia adalah antara asas kepada tadbir urus baik (good governance).
“Kita sering berbicara soal memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi mana-mana negara pun tidak akan berjaya jika ketirisan dan rasuah terus dibiarkan berleluasa. Masalah ini perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan tidak dapat mencapai tadbir urus yang baik secara bersendirian kerana memerlukan sokongan daripada sektor swasta dan badan-badan profesional.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada Institut Juruaudit Dalaman Malaysia di atas pelancaran Panduan Penyata Pengurusan Risiko dan Kawalan Dalaman (SORMIC) 2025 bersama Bursa Malaysia.
“Ia menyediakan panduan kepada syarikat-syarikat untuk memupuk kesedaran terhadap risiko, mengukuhkan keyakinan pelabur, serta membuat persediaan menghadapi ESG dan risiko-risiko baharu yang sedang muncul,” katanya. – UTUSAN










