MUKADIMAH
SELEPAS menang pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi sesi 2025/2027 baru-baru ini, Datuk Seri Shahidan Kassim terus diberikan kepercayaan dan amanah mengetuai Perikatan Nasional (PN) Perlis bagi mengantikan Mohd. Shukri Ramli yang juga Menteri Besar.
Pelantikan Ahli Parlimen Arau itu sekali gus menyaksikan beliau akan menjadi panglima perang mengetuai PN Perlis dalam misi mempertahankan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengalaman dan pengaruh kuat bekas Menteri Besar dari 1995 sehingga 2008 itu tidak boleh dinafikan dan kehadiran beliau bagi mengepalai PN Perlis itu amat bertepatan termasuk dalam usaha menyatupadukan kembali PN negeri dan melancarkan gerak kerja gabungan tersebut.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB mendapatkan Shahidan mengenai hala tuju PN di Perlis dan keyakinan beliau dalam mengekalkan kerajaan negeri dalam PRU16.
MINGGUAN: Apakah perkara utama yang akan dilakukan dalam usaha memulihkan isu dalaman yang membelenggu PN Perlis sebelum ini ?
SHAHIDAN: Saya sedar, orang Perlis tahu, pemberita pun tahu, antara perkara yang kita (PN) hadapi adalah perbezaan pendapat atau dalam bahasa mudah, sedikit perpecahan yang berlaku. Di Perlis, PN ada perbezaan pendapat yang setengahnya ketara dan setengahnya tidak. Ada perbezaan yang berlegar-legar termasuk di sosial media, semuanya akan diperlengkapkan bagi mengembalikan penyatuan semua pihak.
Justeru, semua pihak akan berada dalam jawatankuasa badan perhubungan PN Perlis atau jawatankuasa di peringkat bahagian dengan kita akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Namun, ke arah memerlukan penyatuan serta-merta ini, saya akan ambil pendekatan mengadakan mesyuarat tiap-tiap minggu sepanjang November dan Disember dan selepas itu bergantung pada situasi semasa.
Keyakinan dalam memastikan PN kekal memerintah Perlis dalam PRU16 ?
Jika PN sudah memilih saya menjadi ‘komander’, Insya-Allah saya akan pastikan kita kekal memerintah negeri ini. Saya tidak akan mampu untuk menghadapi kekalahan.
Datuk Seri sedia menjadi orang tengah menyelesaikan masalah dalaman Pas Perlis?
Tidak ada orang tengah dah, saya sudah di sini (Pengerusi PN Perlis). Semua orang akan kita libatkan dalam mesyuarat PN ini. Menteri Besar juga akan masuk atau hadir sebagai orang utama dalam pentadbiran negeri.
Prestasi wakil rakyat PN di Perlis?
Rakyat sudah bagi kemenangan yang bukan sedikit kepada kita dalam PRU15. Jika kemenangan sekadar majoriti 10 atau 20 undi tidak mengapa tetapi kemenangan besar sehingga majoriti ribu dan berpuluh ribu. Antara semua wakil rakyat hanya Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis) yang menang majoriti rendah namun dalam semua wakil rakyat, beliau (Abu Bakar) yang paling ‘perform’. Kalau ada yang dapat majoriti beribu-ribu, kalau tidak ‘perform’ kena perbetulkan. Saya wakil rakyat saya tahu mana-mana wakil rakyat yang buat kerja atau tidak. Saya akan bagi teguran, tapi kalau mereka tidak mahu juga, inilah tempatnya (mesyuarat PN) kita akan buat keputusan dan kita akan beritahu kepada rakyat.
PN mempunyai potensi besar mengekalkan kerajaan negeri namun terdapat sesetengah wakil rakyat yang tidak ‘perform’ dikhuatiri menjadi punca kekalahan?
Wakil rakyat kena buat kerjalah. Bina kekuatan dalam kebajikan di kawasan masing-masing. Dalam mesyuarat nanti, kita akan tegur. Mesyuarat PN nanti akan melibatkan semua wakil rakyat dan mereka mesti hadir.-MINGGUAN










