Rakyat Gaza buntu cari tempat selamat

Rakyat Gaza buntu cari tempat selamat

PENDUDUK Palestin yang dipindahkan bergerak menuju ke selatan melalui jalan di kawasan kem pelarian Nuseirat, di tengah Gaza, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Operasi ketenteraan semakin agresif di Gaza City apabila tentera Israel melancarkan serangan darat dari dua arah, menyebabkan penduduk terperangkap di tengah kawasan konflik itu.

Jurucakap tentera Israel, Nadav Shoshani memberitahu Reuters, pasukan infantri, kereta kebal dan artileri sedang bergerak masuk ke kawasan bandar, dengan sokongan serangan udara bagi meningkatkan tekanan terhadap Hamas.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud melaporkan, tentera Israel mara dari arah barat laut dan tenggara, mengepung penduduk di tengah dan memaksa mereka melarikan diri ke arah barat di jalan pantai al-Rashid menuju selatan.

“Serangan ke atas kawasan kejiranan yang sesak menyebabkan panik dan ketakutan, memaksa penduduk melarikan diri demi nyawa mereka,” katanya dari Nuseirat, di tengah Gaza.

Penduduk Gaza memberitahu Al Jazeera, serangan tidak berhenti, termasuk daripada dron dan pesawat pejuang serta letupan robot kawalan jauh, untuk memusnahkan kawasan kejiranan semasa pemindahan berlaku di dalam bandar.

Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh di Gaza City pada Khamis, menurut sumber perubatan yang dipetik Al Jazeera.

Keluarga yang melarikan diri menghadapi kemungkinan kehilangan tempat tinggal buat selama-lamanya, dalam wilayah yang hampir tiada zon selamat.

Biro Statistik Pusat Palestin mendakwa kira-kira 740,000 orang atau sekitar 35 peratus daripada 2.1 juta penduduk Gaza masih berada di bahagian utara wilayah itu setakat Selasa.

Bagaimanapun, biro itu memberi amaran angka tersebut mungkin menurun, apabila serangan berterusan Israel memaksa lebih ramai penduduk meninggalkan kawasan itu dan perkhidmatan asas mula terhenti.

Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada Khamis memberi amaran talian hayat terakhir di Gaza City sedang runtuh.

OCHA menuduh Israel secara sistematik menyekat usaha membawa bantuan kepada penduduk, merujuk kepada penutupan pintu sempadan Zikim ke utara Gaza yang dilanda kebuluran serta larangan ke atas beberapa jenis makanan.

DI MANA NAK TINGGAL?

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, pencerobohan tentera dan arahan pemindahan di utara Gaza memaksa lebih ramai keluarga berpindah ke kawasan sempit dan tidak layak untuk didiami.

“Hospital yang sudah terbeban, kini di ambang keruntuhan apabila keganasan yang semakin meningkat menghalang akses dan menyekat WHO daripada menghantar bekalan menyelamatkan nyawa,” katanya dalam hantaran di X.

Hospital Al-Shifa di Gaza City melaporkan menerima 33 mayat mangsa yang terbunuh akibat serangan Israel sejak tengah malam.

“Keadaan yang tidak dapat digambarkan ketika ini, ribuan manusia berkumpul di merata tempat, bunyi letupan, wanita dan lelaki menjerit serta menangis ketakutan,” kata seorang penduduk, Shadi Jawad, 47.

“Dunia tidak faham apa yang berlaku. Mereka mahu kami berpindah ke selatan, tetapi di mana kami nak tinggal? Tiada khemah, tiada pengangkutan, tiada wang,” kata Aya Ahmed, 32, yang berlindung bersama 13 ahli keluarga di Gaza City.

Tentera Israel mendakwa, mereka terus menyasarkan infrastruktur Hamas dan turut beroperasi di kawasan selatan Rafah dan Khan Younis.

Sekatan media di wilayah itu dan kesukaran mengakses banyak kawasan menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan maklumat secara bebas daripada pihak pertahanan awam atau pasukan rejim.

Gaza City dan kawasan utara sekali lagi terputus akses internet dan talian komunikasi pada Khamis selepas serangan Israel merosakkan kabel serta fasiliti utama.

Gangguan komunikasi yang melumpuhkan hospital, pasukan pertahanan awam dan operasi bantuan kemanusiaan itu kini menjadi ciri utama perang Israel di Gaza.

Kumpulan hak asasi manusia memberi amaran ia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya sebahagian dasar disengajakan untuk menyekat maklumat dari wilayah itu dan menghalang pemantauan luar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×