ALOR SETAR: Muktamar Tahunan Pas ke-71 yang bermula malam tadi akan memfokuskan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, muktamar tahunan parti itu tidak akan menjadi medan untuk perwakilan atau kepimpinan menyuarakan isu tentang calon Perdana Menteri.
Menteri Besar Kedah itu berkata, hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) yang didakwa pelbagai pihak kononnya sedang bergolak juga bukan menjadi topik utama perbahasan.
Sebaliknya ujar beliau, Pas sentiasa memberi keutamaan kepada agenda memperkukuhkan parti dalam apa jua keadaan terutama menjelang pilihan raya akan datang yang dijangka lebih mencabar daripada segi politik dan pentadbiran.
“Saya rasa tak ada isu atau usul (berkaitan calon Perdana Menteri dan hubungan dalam PN) itu diutarakan nanti, kerana orang Pas tidak akan berbincang hal-hal macam itu. Muktamar ini tentang Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemerhati politik menjangkakan Muktamar Tahunan Pas ke-71 bakal dihangatkan dengan isu calon Perdana Menteri ke-11 selepas sekutu mereka dalam PN telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan itu.
Langkah itu bagaimanapun kurang disenangi Pas termasuk Muhammad Sanusi sendiri dan Tan Sri Annuar Musa yang membuat kenyataan terbuka tentang isu berkenaan.
Tambah Muhammad Sanusi, tumpuan utama muktamar Pas adalah merangka strategi memperkukuh jentera parti di semua peringkat, selain memperkemas agenda kebajikan rakyat dan dasar pembangunan negara yang berteraskan Islam.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, Pas tidak akan menari mengikut gendang yang dipalu kerana mempunyai kaedah tersendiri dalam memutuskan perkara penting.
“Saya rasa muktamar kali ini akan berjalan seperti biasa, tak ada isu yang panas-panas sebab kita pentingkan jemaah atau organisasi, itu yang ramai orang tak boleh faham Pas,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, apa juga jawatan bukan keutamaan bagi Pas kerana ahli yang tidak berjawatan sekali pun boleh membantu kekuatan parti melalui pelbagai cara selagi memberi impak positif kepada Pas.-UTUSAN.









