PETALING JAYA: Cadangan menggunakan MyKad sebagai mekanisme agihan subsidi RON95 masih belum cukup bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran dan mengekang kebocoran.
Pakar ekonomi, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, walaupun MyKad dimiliki hampir semua rakyat, ia hanya berfungsi sebagai pengesahan identiti dan tidak mampu menilai tahap pendapatan atau keperluan sebenar isi rumah.
“MyKad boleh tapis pengguna asing dan kenderaan mewah, tetapi ia tidak cukup untuk memastikan hanya isi rumah layak menerima manfaat.
“Subsidi bersasar tidak boleh bergantung kepada kad pengenalan semata-mata,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia.
Jumaat lalu, akhbar melaporkan subsidi bersasar RON95 hanya boleh dinikmati apabila MyKad dapat mengesahkan identiti penerima semasa mengisi minyak.
Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menasihatkan rakyat Malaysia segera memeriksa dan memastikan cip MyKad mereka berfungsi dengan baik.
Katanya, pengguna tidak perlu bimbang jika cip rosak atau tidak boleh dibaca kerana ia boleh dibaiki di mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh negara.
Dalam pada itu, Idham berkata, mekanisme pengagihan subsidi mesti berpaksikan data pendapatan melalui LHDN atau rekod bantuan sosial supaya hanya mereka yang benar-benar layak diberikan bantuan.
“Kalau tidak, golongan T20 tetap boleh menikmati subsidi hanya kerana mereka memiliki MyKad. Itu bercanggah dengan tujuan rasionalisasi subsidi,” katanya.
Idham berkata, keberkesanan hanya dapat dicapai sekiranya MyKad diintegrasikan dengan sistem dompet digital yang menyalurkan subsidi dalam bentuk kredit tunai yang terkawal dan boleh dipantau penggunaannya.
“Kalau sekadar imbas di pam minyak, ia tidak ubah seperti sistem lama yang mudah bocor. Subsidi perlu diagih dalam bentuk kredit terkawal supaya kerajaan tahu berapa isi rumah benar-benar gunakan,” katanya.
Menurut Idham, penggunaan teknologi pintar seperti sistem pengesanan, kecerdasan buatan (AI) dan analisis corak pembelian bahan api perlu dilaksanakan serentak bagi menutup ruang manipulasi dan penyeludupan.
“MyKad hanya asas. Tanpa ekosistem data yang lebih luas dan kawalan tegas, reformasi subsidi RON95 hanya tinggal slogan tanpa hasil,” katanya.
Idham berkata, kelewatan kerajaan memperkenalkan mekanisme telus hanya akan mengulangi kelemahan lama sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap agenda rasionalisasi subsidi. – UTUSAN










