Lebih banyak persoalan timbul

Lebih banyak persoalan timbul

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Prosiding hari kedua inkues bagi mencari kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner di sini semalam, menimbulkan lebih banyak­ persoalan.

Antaranya, remaja perem­puan itu terjatuh dari tingkat berapa? Adakah benar Zara Qairina terjun dari tingkat tiga asrama­nya atau adakah remaja itu ditolak ketika cuba melarikan diri?

Peguam Rizwandean M Bor­han yang mewakili ibu remaja itu, Noraidah Lamat ketika menyoal saksi pertama inkues, pakar patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu turut bertanya kemungkinan Zara Qairina ditolak ketika sedang duduk atau berdiri di bahagian luar tembok penghadang.

Rizwandean: Kalau si mati berdiri di luar tembok penghadang, kemudian tiba-tiba ditolak di bahagian paha, bolehkah dia mengalami kecederaan yang sama dengan yang Doktor nyatakan dalam laporan bedah siasat?

Dr. Hiu: (Berdasarkan laporan bedah siasat), si mati jatuh dan mendarat dengan kedua-dua kaki (landed on both feet). Kalau ditolak di bahagian kaki, tidak mungkin dia akan mendarat dengan kedua-dua kaki­nya.

Rizwandean: Kalau si mati berlari laju di kaki lima asrama, tergelincir, bolehkah dia terjatuh ke bawah?

Dr. Hiu: Bergantung kepada beberapa faktor. Berapakah ke­lajuannya, keadaan kaki lima. Lebih mudah saya tunjukkan apabila ke tempat kejadian.

Rizwandean: Kalau si mati sedang berlari laju di kaki lima asrama (tiba-tiba) ditolak, boleh­kah dia terjatuh ke bawah?

Dr. Hiu: Saya akan tunjukkan apabila ke tempat keja­dian.

Sementara itu, ketika disoal oleh peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang remaja yang didakwa berkait kes buli Zara Qairina, pakar patologi itu memaklumkan, beliau tidak tahu dari tingkat mana sebenarnya remaja berusia 13 tahun itu jatuh.

Ram: Ada kemungkinan tak dia jatuh dari ketinggian berbeza (bukan dari tingkat tiga).

Dr. Hiu: Lebih tinggi tingkat, lebih teruk kecederaannya. Tetapi saya dimaklumkan bahawa bilik si mati berada di tingkat tiga dan dia dilihat buat kali terakhir di bilik mandi di tingkat tiga juga.

Ram: Jadi Doktor tak pasti dia jatuh dari tingkat berapa tetapi pasti dia meninggal dunia akibat jatuh dari tempat tinggi?

Dr. Hiu: Ya.

Ram: Berdasarkan keterangan Doktor, terjatuh secara tiba-tiba, tidak ditolak ketika berdiri atau duduk di atas tembok penghadang, adakah kemungkinan dia, si mati jatuh dengan kehendaknya sendiri (fell on her own accord)

Dr. Hiu: Itu untuk mahka­mah putuskan.

Peguam, Azhier Farhan Arisin yang mewakili empat lagi remaja yang didakwa berkait kes buli menimbulkan isu sama ada kecederaan pada Zara Qairina adalah disebabkan dipukul oleh sekumpulan individu.

Azhier: Adakah terdapat kesan Zara Qairina diheret (ke lokasi jasadnya ditemukan)?

Dr. Hiu: Tiada.

Azhier: Kecederaan yang ada pada konsisten dengan kecederaan dipukul?

Dr. Hiu: Dipukul adalah daya terus (direct force). Kecederaan akibat daya force) bergerak dari bawah (kaki) ke atas secara dalaman (internal force) adalah berbeza.

Azhier: Ada tak bukti forensik yang Zara Qairina dipukul dahulu sebelum diletakkan di lokasi dia ditemukan?

Dr. Hiu: Tiada.

Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Isnin ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN