SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan, kepentingan serta kelangsungan orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur perlu terus dipelihara pada masa kini dan jangka panjang.
Baginda bertitah, Kampung Baru bukan sekadar penempatan biasa, sebaliknya simbol maruah dan kelangsungan orang Melayu di ibu kota yang wajar dipertahankan daripada sebarang pembangunan yang mengabaikan kepentingan masyarakat Melayu.
“Sesungguhnya Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak 1900. Sebarang keputusan pembangunan mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk hari ini dan generasi akan datang,” titah baginda dalam kenyataan, semalam.
Sultan Sharafuddin turut menekankan isu pembangunan di Kampung Baru perlu ditangani secara teliti dan berhemah, dengan syarat pembangunan jelas memihak kepada orang Melayu.
Baginda menegaskan, sejarah asal penubuhan Kampung Baru perlu diingati sebagai asas utama pertimbangan semua pihak.
Kampung Baru ditubuhkan pada 1899 hasil kurniaan Sultan Selangor Kelima, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah, sebagai kawasan penempatan masyarakat Melayu.
Kawasan itu pernah menjadi nadi kebangkitan bangsa apabila Kelab Sultan Sulaiman dijadikan lokasi Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 yang membawa kepada penubuhan UMNO.
“Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman dijadikan tempat perlindungan orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka.
“Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hak milik Kerajaan Negeri Selangor,” titah baginda.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah Sultan Sharafuddin berhubung sejarah, masa depan dan hala tuju pembangunan Kampung Baru selari dengan pendirian Kerajaan Madani.
Anwar yang juga Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam soal perumahan mampu milik, iltizam kerajaan pada masa ini adalah memastikan pembangunan membawa manfaat
sebenar kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah serta menjadi kepentingan nasional.
“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi kepada kesejahteraan rakyat dan kelangsungan identiti masyarakat,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook.
Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerusi Podcast Utama Buletin TV3 berkata, sebarang pembangunan Kampung Sungai Baru perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu dengan memastikan hak mereka terjaga.
Katanya, Kampung Sungai Baru adalah anugerah Sultan Selangor kepada orang Melayu pada satu ketika dahulu.
Justeru, kata beliau, pemaju perlu membina perumahan yang mampu dimiliki oleh orang Melayu kerana asal-usul tanah itu telah ditentukan sebagai milik komuniti Melayu.
“Dahlah dapat tanah murah, lepas itu nak buat projek mahal. Kalau Melayu tak mampu beli, kemudian dikatakan projek itu untuk orang Melayu.
“Masalahnya, bukan saya pertikaikan, tapi soal tanah Kampung Baru ini memang unik, bukan tanah luar,” katanya.
Sebelum ini, Kampung Sungai Baru menjadi tumpuan apabila sebahagian penduduk enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.
Pada 2021, kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil alih tanah tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemaju. – UTUSAN










