Jenazah bonda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumi

Jenazah bonda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumi

Bonda Tengku Permaisuri Selangor
SULTAN Sharafuddin Idris Shah menghadiri pengebumian bonda Tengku Permaisuri Norashikin, Allahyarhamah Esah Tahar dekat Makam Diraja, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jenazah bonda kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selamat dikebumikan di Makam Diraja di sini, kira-kira pukul 2.45 petang ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Esah Tahar, 82, disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat zohor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat menunaikan solat sebelum menyertai pengebumian itu.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail.

Selain itu, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyiram air mawar selepas bacaan talkin selesai.

Terdahulu, Allahyarhamah Esah menghembuskan nafas terakhir dekat sebuah hospital di Damansara akibat sakit tua, kira-kira pukul 5.15 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN