DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan sikap berat sebelah serta mengambil tindakan menghukum Israel.
Kenyataan itu dibuat sehari sebelum sidang kemuncak tergempar pemimpin Arab dan Islam yang diadakan susulan serangan udara Israel ke atas pemimpin Hamas di Doha.
Serangan maut itu dilakukan oleh sekutu rapat Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayah sekutu lain mencetuskan gelombang kecaman antarabangsa, termasuk daripada Presiden AS, Donald Trump, yang bagaimanapun tetap menghantar Setiausaha Negara, Marco Rubio, ke Israel sebagai tanda sokongan.
Sidang tergempar pada 15 September dijangka menjadi simbol kesatuan negara Teluk dan platform untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel, yang kini berdepan desakan global agar menamatkan perang dan krisis kemanusiaan di Gaza.
“Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa menghentikan sikap berat sebelah dan menghukum Israel atas semua jenayah yang dilakukan. Perang pemusnahan dilancarkan Israel di Gaza tidak akan berjaya.
“Apa yang mendorong Israel terus bertindak ialah sikap berdiam diri dan ketidakupayaan masyarakat antarabangsa untuk mendakwanya,” kata Sheikh Mohammed dalam mesyuarat persediaan pada Ahad.
Antara pemimpin yang dijangka hadir ke sidang kemuncak pada Isnin ialah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al-Sudani; serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Bagaimanapun, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto Arab Saudi belum dapat dipastikan sama ada akan menghadiri sidang tersebut, meskipun beliau baru-baru ini melakukan lawatan solidariti ke Qatar.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, mesyuarat itu akan membincangkan draf resolusi berhubung serangan Israel terhadap Qatar.
Sementara itu, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan memberitahu Al Jazeera pada Ahad bahawa isu tingkah laku Israel bukan lagi semata-mata isu Palestin-Israel.
“Masalah terbesar ketika ini ialah matlamat peluasan kuasa Israel di rantau ini. Negara Arab dan Islam mesti bersatu serta mencari penyelesaian berasaskan masalah baharu yang semakin jelas ini,” katanya.- AGENSI










