ROM: Itali menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang meluluskan undang-undang komprehensif untuk mengawal selia penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Peraturan baharu itu bukan sahaja menetapkan garis panduan etika, malah memperuntukkan hukuman penjara terhadap penyalahgunaan teknologi, termasuk penciptaan deepfake, penipuan digital dan pencurian identiti.
Kerajaan berhaluan kanan pimpinan Giorgia Meloni berkata, undang-undang tersebut digubal selaras dengan Akta AI, perintis EU adalah langkah penting dalam menentukan hala tuju teknologi tersebut di Itali.
Tumpuan utama diberikan kepada penggunaan AI yang berpaksikan manusia, telus dan selamat, di samping menekankan aspek inovasi, keselamatan siber serta perlindungan privasi rakyat.
Undang-undang itu menetapkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun terhadap sesiapa yang menyebarkan kandungan terhasil atau dimanipulasi AI secara haram sekiranya terbukti membawa mudarat.
Bagi jenayah yang melibatkan penipuan atau kecurian identiti, penalti lebih berat akan dikenakan.
Pada masa sama, peraturan baharu itu mewajibkan tahap ketelusan dan pengawasan manusia yang lebih ketat dalam pelbagai sektor, termasuk kesihatan, pendidikan, kehakiman, sukan serta tempat kerja.
Bagi melindungi golongan muda, kanak-kanak di bawah umur 14 tahun diwajibkan mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum dibenarkan menggunakan AI.
Sementara itu, dalam isu hak cipta, karya yang dihasilkan dengan bantuan AI hanya boleh dilindungi sekiranya terdapat usaha intelektual sebenar daripada manusia.
Aktiviti perlombongan teks dan data pula hanya dibenarkan bagi kandungan tanpa hak cipta atau untuk tujuan penyelidikan saintifik oleh institusi yang diberi kuasa.
Setiausaha Negara bagi Transformasi Digital, Alessio Butti menegaskan undang-undang baharu itu membawa inovasi sejajar kepentingan awam, mengemudi AI ke arah pertumbuhan, hak asasi dan perlindungan penuh terhadap rakyat.
Untuk tujuan penguatkuasaan, kerajaan menugaskan Agensi Digital Itali dan Agensi Keselamatan Siber Nasional sebagai badan pemantau rasmi.
Rang undang-undang ini diluluskan selepas hampir setahun perbahasan di Parlimen.
Sebelum ini, Perdana Menteri Giorgia Meloni pernah menekankan keperluan Itali mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengendalikan teknologi ini.
Bagi menyokong perkembangan industri, kerajaan Itali turut memperuntukkan sehingga €1 bilion (RM4.9 bilion) daripada dana modal teroka yang disokong kerajaan bagi membantu syarikat yang aktif dalam bidang AI, keselamatan siber dan telekomunikasi.- AGENSI











