TOKYO: Kerajaan Jepun mengumumkan bilangan penduduk berusia 100 tahun ke atas meningkat hampir 100,000 orang, rekod tertinggi untuk tahun ke-55 berturut-turut.
Setakat September, terdapat 99,763 warga emas di Jepun, dengan wanita membentuk 88 peratus daripada jumlah itu, menurut Kementerian Kesihatan.
Jepun terkenal dengan jangka hayat terpanjang di dunia dan kerap menjadi rumah kepada individu tertua yang masih hidup, walaupun beberapa kajian membantah bilang sebenar warga berusia 100 tahun di seluruh dunia.
Negara itu juga merupakan antara masyarakat yang pesat menua, dengan penduduknya sering mengamalkan diet sihat tetapi mempunyai kadar kelahiran rendah.
Wanita tertua di Jepun, Shigeko Kagawa, 114, berasal dari Yamatokoriyama, manakala lelaki tertua ialah Kiyotaka Mizuno, berusia 111 tahun dari bandar Iwata.
Data itu dikeluarkan menjelang Hari Warga Emas Jepun pada 15 September, di mana individu yang mencapai umur 100 tahun menerima surat penghargaan dan cawan perak daripada Perdana Menteri.
Tahun ini, 52,310 individu layak menerima penghargaan tersebut.
Padan 1960-an, Jepun mempunyai peratusan warga emas 100 tahun ke atas paling rendah dalam kalangan negara Kumpulan Tujuh (G7), namun angka itu meningkat ketara sejak beberapa dekad lalu.
Peningkatan jangka hayat itu kebanyakannya disebabkan penurunan kadar kematian akibat penyakit jantung dan kanser, terutama payudara serta prostat.
Jepun mempunyai kadar obesiti yang rendah, faktor utama kepada kedua-dua penyakit tersebut, disebabkan diet rendah daging merah dan tinggi pengambilan ikan serta sayur-sayuran.- BBC










