MOSCOW: Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud menggegarkan luar pantai Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Russia awal Jumaat, mencetuskan panik penduduk dan amaran tsunami yang kemudian ditarik balik.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa berlaku 128 kilometer (km) di timur Petropavlovsk-Kamchatsky pada kedalaman cetek 10 km.
Rakaman di media sosial menunjukkan perabot dan lampu bergoyang di dalam rumah ketika gegaran berlaku.
Perkhidmatan geofizik Russia menganggarkan magnitud lebih rendah, 7.4, dengan sekurang-kurangnya lima gempa susulan dilaporkan.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS mengeluarkan amaran kemungkinan ombak berbahaya di sepanjang pantai berdekatan, namun beberapa jam kemudian mengesahkan ancaman itu berakhir.
“Pagi ini sekali lagi menguji ketabahan penduduk Kamchatka. Setakat ini, tiada laporan kerosakan dan saya minta semua orang bertenang,” kata Gabenor wilayah, Vladimir Solodov, di Telegram.
Semenanjung Kamchatka terletak di jalur tektonik dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktif seismik yang mengelilingi sebahagian besar Lautan Pasifik.
Julai lalu, gempa kuat berukuran 8.8 magnitud di luar pantai wilayah itu mencetuskan tsunami yang menghanyutkan sebahagian perkampungan pantai ke laut dan mengakibatkan amaran tsunami dikeluarkan di seluruh Pasifik.- AFP











