KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun berdepan ketidak tentuan nasib membabitkan isu pengusiran, penduduk Kampung Sungai Baru akhirnya dipindahkan secara berperingkat semalam dengan melibatkan 37 rumah dan 26 pemilikan.
Pemindahan itu menandakan pengakhiran episod panjang rundingan antara penduduk, pihak berkuasa dan pemaju bagi pelaksanaan proses pembangunan semula kawasan berkenaan yang terletak di tengah-tengah ibu kota.
Kampung Sungai Baru sebelum ini menjadi tumpuan apabila sebahagian penduduk enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.
Walaupun berlaku sedikit kekecohan dan hujan lebat semalam, proses pemindahan akhirnya berjalan lancar selepas penduduk akur keputusan yang ditetapkan mahkamah.
Operasi dilaporkan diketuai bailif (pegawai yang menyampaikan writ/saman) mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, tindakan pengosongan rumah di kampung tersebut perlu dilakukan atas arahan mahkamah.
Katanya, polis bersama agensi berkaitan tetap akan membantu penduduk yang mempunyai kesukaran berpindah, termasuk golongan warga emas.
Namun tegasnya, tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang mencetuskan provokasi sehingga mengganggu kelancaran operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru.
Amaran tersebut dikeluarkan selepas Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera di kepala terkena objek di Kawasan operasi tersebut.
Fadil juga tidak menolak wujud penglibatan pihak luar yang hadir ke kawasan operasi dan cuba menimbulkan huru-hara selepas kecederaan yang dialami Suzilme.
Dalam pada itu, salah seorang penduduk, Noraide Hariani Yunus, 43, berkata, dia bagaimanapun agak kecewa selepas tindakan pengosongan dilakukan sebelum tarikh rayuan di mahkamah pada 3 Oktober nanti.
Dia menyifatkan arahan tersebut sebagai tergesa-gesa dan hanya menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan mereka yang sudah lama menetap di situ.
“Kenapa rumah perlu dikosongkan dahulu kemudian baru dengar rayuan? Sepatutnya tunggu dulu keputusan rayuan, barulah boleh buat tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kawasan Kampung Sungai Baru terbabit dalam projek pembangunan semula merangkumi pembinaan kondominium dan pembangunan komersial.Proses ambil alih tanah dibuat kerajaan di bawah peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan pembangunan awam.
Bagaimanapun, salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Jaja mendakwa, tiada diberi penempatan diberikan kepadanya walaupun tindakan pengosongan dikeluarkan.
“Selain itu tiada pun budi bicara untuk bertanyakan penduduk sama ada ada mempunyai rumah atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemaju Kampung Sungai Baru perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang diberikan oleh Sultan Selangor ketika itu pada zaman British.
Menurutnya, pemaju perlu memahami keunikan tanah Kampung Sungai Baru dan sebarang usaha membangunkan kawasan itu perlu memelihara dan mengambil kira kepentingan kaum Melayu.
“Hari ini kita berdepan masalah yang sangat kronik dari segi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan saya tidak bersetuju perkara ini diteruskan.
“Tetapi disebabkan perkara ini sudah berlaku dan tidak mungkin boleh berpatah kembali, justeru pemaju perlu pastikan pembangunan di kawasan seluas 3.19 hektar itu mampu dibeli oleh orang Melayu,” katanya. – UTUSAN










