PUTRAJAYA: Program Budi Madani RON95 (BUDI95) mula dilaksanakan di lebih 4,200 stesen minyak di seluruh negara hari ini, dengan kumpulan pertama membabitkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera.
Golongan itu antara 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu mendapat manfaat penetapan harga petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter. Ia diikuti 5 juta golongan B40 atau penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menerima subsidi berkenaan pada esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, BUDI95 mampu menutup ruang ketirisan dalam pengagihan subsidi petrol menerusi penggunaan data lengkap yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ini kerana kata beliau, penggunaan MyKad adalah satu-satunya pengesahan kelayakan subsidi di stesen minyak bagi menentukan hanya warganegara yang layak memperoleh harga subsidi supaya tiada lagi warga asing mendapat faedah itu sekali gus mampu mengelak ketirisan subsidi.
“Agensi-agensi seperti JPN selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memiliki data komprehensif yang membolehkan kerajaan menyalurkan subsidi dengan lebih bersasar serta memastikan hanya penerima layak mendapat manfaat.
“Dengan kaedah ini, kerajaan bukan sahaja dapat mengurangkan ketirisan, malah menunjukkan keberanian politik untuk melaksanakan penyasaran subsidi ini. Subsidi ini mesti bersasar, dan hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Kalau tiada lesen, apa perlunya dapat subsidi petrol? Subsidi ini khusus kepada mereka yang memilih untuk menggunakan kenderaan. Sebab itu kita kumpulkan data JPJ berapa jumlah kenderaan berdaftar, berapa jumlah pemegang lesen sah, termasuk dalam kalangan polis dan tentera. Semua ini kerajaan akan tahu secara spesifik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, kelmarin.
Saifuddin berkata, keterangkuman itu diperkukuh lagi dengan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menjadi rujukan utama semua pihak kerana sistem ini disifatkan lebih teliti, adil dan menyeluruh.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, penggunaan cip MyKad turut diperluaskan bagi tujuan pembelian petrol, sekali gus mendorong orang ramai menukar kad pengenalan baharu.
Beliau berkata, kerajaan menjangkakan pertukaran MyKad meningkat sekitar 43,000 sebulan berbanding 30,000 sebulan dengan kos ditanggung kerajaan kira-kira RM714 juta bagi penggantian cip yang rosak.
“Dulu kerajaan menjanjikan tujuh aplikasi menggunakan MyKad, termasuk Touch ‘n Go, urusan bank, kerajaan dan swasta. Kini kita tambah satu lagi, iaitu untuk penggunaan minyak.
“Sebab itu saya telah beri arahan khusus kepada JPN supaya bersedia menerima permohonan pertukaran MyKad dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan petrol RON95 mencecah 1.4 bilion liter sebulan, manakala diesel pula sekitar 850,000 liter sebulan dan tanggungjawab menampung subsidi ini dihadapi setiap kerajaan tanpa mengira siapa yang memerintah.
Katanya, subsidi bahan api lebih banyak dinikmati oleh golongan berkemampuan, manakala rakyat biasa juga menikmatinya tetapi dalam jumlah jauh lebih kecil kerana kadar penggunaan mereka rendah.
“Harga minyak mentah sekitar AS$70 setong, harga pasaran sebenar adalah lebih tinggi daripada RM2.05 seliter. Maka, kerajaan perlu menanggung kira-kira 60 sen hingga 65 sen bagi setiap liter. Jika dikira dengan penggunaan sebanyak 1.4 bilion liter sebulan, jumlah tanggungan subsidi kerajaan amat besar.
“Selain itu, berlaku juga herotan apabila subsidi turut dinikmati oleh warga asing, sama ada di selatan oleh rakyat Singapura, Thailand, mahupun kira-kira 2.2 juta pekerja asing di negara ini.
“Hakikatnya, dana subsidi ini datang daripada hasil cukai rakyat Malaysia tetapi sebahagian besarnya turut menanggung penggunaan warga asing yang tidak menyumbang cukai kepada negara,” katanya. – UTUSAN










