ASEAN perlu tegas tangani krisis Myanmar

ASEAN perlu tegas tangani krisis Myanmar

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mengambil pendirian tegas bagi menghentikan kekejaman, pengeboman dan diskriminasi terhadap rakyat Myanmar yang berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis tersebut bukan sekadar kon­flik politik dalaman, sebaliknya tragedi kemanusiaan yang me­ragut ribuan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurutnya, ASEAN tidak boleh berdiam diri ketika rakyat Myanmar hidup dalam ketakutan, manakala bantuan kemanusiaan pula dihalang daripada sampai kepada mereka yang terdesak.

“ASEAN mesti menghentikan kekejaman, hentikan pengeboman dan hentikan diskriminasi. Bantuan kemanusiaan perlu disalurkan tanpa sebarang sekatan,” katanya ketika berucap semasa perasmian Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini semalam.

Anwar berkata, kesepakatan luar biasa berjaya dicapai apabila semua negara anggota sebulat suara menyokong usaha menamatkan keganasan, sekali gus membuktikan ASEAN mampu mengetepikan perbezaan demi mempertahankan prinsip kemanusiaan.

“Walaupun persetujuan itu belum menjamin penghentian penuh terhadap kekejaman, namun ia adalah langkah penting yang menunjukkan kesungguhan ASEAN mencari penyelesaian bersama. Kali pertama dalam tempoh satu dekad, prinsip ini dipersetujui bersama. Ia membuktikan ASEAN serius membela hak rakyat Myanmar,” katanya.

Begitupun kata Anwar, ke­stabilan rantau ini turut bergantung kepada cara ASEAN menguruskan krisis tersebut.

Katanya, keyakinan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, India dan Ke­satuan Eropah bergantung kepada sejauh mana ASEAN mampu mencari penyelesaian tuntas.

“Jika ASEAN gagal menguruskan krisis ini, ia akan memberi kesan langsung terhadap keyakinan dunia terhadap ki­ta,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, ASEAN digesa tampil lebih aktif dan berfungsi dalam menangani cabaran semasa yang semakin mencabar, sekali gus memastikan organisasi itu kekal relevan dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ASEAN tidak boleh hanya dilihat sebagai simbolik forum, tetapi perlu membuktikan keberkesanan melalui tindakan kukuh yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan rakyat serantau.

“ASEAN mesti berfungsi, bukan hanya wujud di atas kertas. Kita harus pastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di seluruh rantau,” katanya.

Anwar berkata, demokrasi di rantau ini memerlukan forum yang hidup, terbuka dan mampu menyalurkan suara rakyat tanpa sekatan, termasuk suara wanita, belia dan komuniti terpinggir yang sering diketepikan daripada perbincangan.

“ASEAN tidak boleh hanya mengangkat golongan elit yang mempunyai kuasa dan pe­ngaruh. Ia mesti memastikan suara masyarakat miskin dan terpinggir turut didengari sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menjadikan rantau ini benar-benar inklusif,” katanya.

Tambah Anwar, keberkesa­nan ASEAN bergantung pada kesediaan negara anggota untuk bertindak secara kolektif dan bukan berasingan, khususnya dalam isu ekonomi, keselamatan, teknologi dan sosial yang semakin menuntut penyelesaian segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN