KUALA LUMPUR: UMNO Sabah tidak berkompromi dengan pengkhianat dalaman dan mana-mana ahli yang terbukti mensabotaj parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal dipecat serta-merta.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, amaran diberi kepada kepada mana-mana pemimpin dan ahli UMNO yang cuba mensabotaj parti khususnya mereka yang tidak terpilih menjadi calon nanti.
Katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sudah memberi jaminan bahawa pemimpin yang tidak dipilih sebagai calon tetap mempunyai peluang memegang jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya BN kembali berkuasa.
“Kalau semua bekerjasama, BN boleh menang 26, 27 kerusi. Tapi jangan ada yang cuba sabotaj parti. UMNO tidak akan bertoleransi. Mana-mana pemimpin atau ahli sabotaj, kita akan pecat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
PRN Sabah dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan bahawa mandat baharu perlu diperoleh bagi memastikan kestabilan politik negeri.
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, kemenangan BN di negeri itu akan memberi kesan besar terhadap pengundi di Semenanjung untuk kembali menyokong UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Sebab itu kita perlu menang untuk memastikan bahawa kemenangan di Sabah ini akan mempengaruhi pengundi-pengundi di Semenanjung untuk menyokong UMNO dalam PRU akan datang. Namun, mana-mana pemimpin UMNO yang sabotaj, UMNO tidak akan bertoleransi dan akan memecat ahli atau pemimpin tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, BN tidak memerlukan mana-mana pihak termasuk PH sendiri untuk menjadi ‘pendamai’ antara parti itu dengan GRS kerana pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi ‘peperangan’ tersebut.
“Kami tidak berkehendakkan orang tengah lagi. Sebab BN Sabah pun telah memutuskan hala tuju dan kami hanya bekerjasama dengan PH. Kami tidak ada apa-apa perundingan dengan GRS dan kami akan berlawan dengan mereka.
“Jadi dengan GRS ini kami akan ‘berperang’ habis. Di semua kawasan kami akan bertanding maknanya, memang semua kawasan akan bertindih,” ujarnya. – UTUSAN










