SHAH ALAM: Berjalan kaki sejauh kira-kira 4.5 kilometer mengelilingi kampus sambil mengibarkan Jalur Gemilang dalam Program Jalan-Jalan Kemerdekaan 2025 antara inisiatif dilakukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan, hari ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, program tersebut bukan sekadar riadah tetapi turut membawa mesej simbolik kebersamaan, perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.
“Kita ‘jalan-jalan’ pada hari ini bukan hanya untuk menyihatkan tubuh badan, tetapi sebagai simbolik menyemarakkan semangat juang yang diwariskan oleh barisan pejuang kemerdekaan negara.
“Semasa kita ingin menyambut kemerdekaan buat kali pertama dahulu banyak rapat-rapat umum sebegini diadakan,”katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu beliau bersama lebih 2,000 warga UiTM berjalan bermula pada pukul 8 pagi di perkarangan Stadium UiTM Shah Alam di sini. Perjalanan sejauh 4.5 kilometer memakan masa hampir sejam tamat di tempat yang sama.
Shahrin menambah, program yang mengangkat tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ itu turut mengenengahkan nilai-nilai kemanusiaan, integriti dan jati diri dalam membina masyarakat madani yang harmoni.
“Tema itu menuntut kita bertanggungjawab dengan mengangkat nilai hormat-menghormati dan integriti dalam setiap tindakan sebagai pendidik, pentadbir mahupun pelajar.
“Saya turut menyeru semua warga UiTM agar memelihara maruah, menjaga jati diri dan sentiasa menanamkan semangat cintakan tanah air sepanjang hayat, bukan hanya pada bulan Ogos.
“Negara yang kuat lahir daripada rakyat yang bersatu, dan rakyat yang bersatu lahir daripada hati yang cintakan tanah air,” ujarnya. – UTUSAN