WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melanjutkan tempoh rundingan tarif dengan Mexico selama 90 hari, sekali gus menangguhkan kenaikan tarif baharu yang sepatutnya berkuat kuasa hari ini.
Langkah itu diumumkan menerusi satu perintah eksekutif baharu yang turut mengenakan tarif balas antara 10 hingga 41 peratus ke atas import dari puluhan negara lain, termasuk beberapa rakan dagang utama AS.
Keputusan tersebut bermakna tarif sedia ada sebanyak 25 peratus ke atas barangan import dari Mexico akan dikekalkan, kecuali bagi barangan yang mematuhi perjanjian perdagangan AS-Mexico-Kanada (USMCA) yang dimeterai Trump pada penggal pertamanya.
Barangan terkandung kepada perjanjian tidak akan dikenakan sebarang tarif, kecuali sektor tertentu yang masih tertakluk duti khusus.
“Saya baru sahaja mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, dan ia sangat berjaya kerana kami semakin mengenali dan memahami satu sama lain.
“Kerumitan dalam membuat perjanjian dengan Mexico agak berbeza berbanding negara lain kerana masalah di sempadan. Kami bersetuju melanjutkan selama 90 hari, perjanjian yang sama seperti sebelum ini,” kata Trump dalam hantaran di Truth Social.
Dalam masa sama, Trump turut mengenakan tarif tinggi terhadap beberapa negara lain, antaranya India (25 peratus), Taiwan (20 peratus), Afrika Selatan (30 peratus), Kanada (35 peratus), serta beberapa negara bergolak termasuk Syria, Myanmar, Libya dan Iraq.
Trump sebelum ini menetapkan 31 Julai sebagai tarikh akhir untuk negara-negara yang mahu berunding semula perjanjian perdagangan dengan Washington. Namun, hanya lapan negara dan blok ekonomi berjaya memuktamadkan perjanjian menjelang tarikh tersebut, termasuk Britain, Jepun dan Kesatuan Eropah.
China pula diberi lanjutan sehingga 12 Ogos untuk mencapai persetujuan, dengan status gencatan tarif antara kedua-dua kuasa besar itu masih belum dimuktamadkan.
Trump sebelum ini mengisytiharkan 2 April sebagai “Hari Pembebasan Ekonomi” dan berikrar untuk mengenakan tarif balas secara besar-besaran terhadap negara-negara yang menurutnya telah menjejaskan ekonomi AS.
Langkah terbaru beliau dilihat sebagai usaha memperkukuh agenda perdagangan adil menjelang pilihan raya presiden yang semakin hampir. – AGENSI










