Transformasi digital mesti selari nilai dan produktiviti

Transformasi digital mesti selari nilai dan produktiviti

ANWAR Ibrahim (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Transformasi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia mestilah bergerak seiring dengan pemeliharaan nilai budaya, jati diri serta peningkatan produktiviti negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh sekadar meniru teknologi dari luar seperti Amerika Syarikat, Eropah atau China tanpa penyesuaian dengan konteks tempatan.

“Kita tak mahu AI dan digital menyebabkan kesenjangan membangkang antara golongan. Kita tidak mahu penguasaan digital dan AI menyebabkan kita kehilangan jati diri, nilai, akhlak dan keyakinan agama serta budaya,” katanya ketika berucap pada Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai di sini, hari ini. 

Beliau sehubungan itu menggesa supaya rakyat khususnya generasi muda, diberi pendedahan mengenai AI dan teknologi digital namun dengan penekanan terhadap nilai budaya dan agama.

“Kita harus memastikan anak-anak kita faham apa itu digital, faham apa dia AI dan kemudian mampu menghasilkan sesuatu yang baharu sesuai dengan pemikiran kita,” katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan memastikan transformasi digital menyumbang kepada peningkatan khidmat awam dan produktiviti rakyat.

“Sekarang ini popular tentang apa yang disebut sebagai productivity paradox iaitu kita berbelanja tinggi untuk AI dan digital tetapi produktiviti tidak meningkat. Jadi isu-isu relevan seperti ini harus dibincangkan,” katanya.

Perdana Menteri turut menyatakan pelaburan dalam teknologi perlu disertai dengan penguasaan ilmu dan pembentukan sahsiah.

“Menggapai di langit tapi kalau tidak jejak di muka bumi, kita akan hilang jati diri. Itu yang disebut mengakar ke bumi,” jelasnya. 

Beliau turut mengimbas kembali kebimbangan awal terhadap penggunaan komputer, namun menegaskan keperluan menyediakan firewall bukan hanya dari segi teknologi, tetapi juga di rumah melalui pendidikan akhlak dan nilai. 

Sementara itu, Anwar berkata Program Madani Rakyat diadakan untuk membolehkan rakyat menilai sendiri pencapaian kerajaan dan menolak dakwaan yang mengatakan kerajaan tidak melakukan sebarang perubahan.

“Datang lihat sendiri, bukan janji. Ini pelaksanaannya,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN