SHAH ALAM: Topcon Positioning Asia (Malaysia) Sdn. Bhd. bersedia menjadi pemangkin kepada lembaran baharu sektor pembinaan di negara ini dengan melaksanakan pemindahan pengetahuan dan teknologi Jepun menerusi program latihan yang dilaksanakannya.
Program latihan menerusi Pusat Latihan Topcon Malaysia (TMTC) dijangka menjadi platform bagi pembelajaran teknologi serta praktikal dalam sektor pembinaan dari negara matahari terbit itu terutama dalam pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya dan sebagainya.
Presiden Topcon Corporation, Takashi Eto berkata, TMTC menjadi hab bagi pembangunan kompetensi digital yang penting dalam meningkatkan produktiviti, ketepatan dan kemampanan dalam proses pembinaan.
“Ya, ia akan menjadi satu lembaran baharu bagi sektor pembinaan di dunia (Malaysia dan dunia). Kita pilih Malaysia untuk kembangkan teknologi di negara ini kerana Jepun memerlukan landasan luar untuk melakukan pemindahan teknologi (dan pengetahuan).
“Malaysia juga mempunyai dan akan membina lebuh raya baharu serta landasan kereta api yang memerlukan pekerja berkemahiran. Justeru, meskipun dengan kemahiran yang kecil, kita mampu melatih untuk mengendalikan teknologi dari Jepun seperti mesin-mesin dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran TMTC, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Topcon Positioning Asia (Malaysia), Vincent Lai memberitahu, pusat latihan TMTC adalah kesinambungan perkhidmatan latihan yang sebelum ini dilaksanakan secara teori.
“Dengan pembinaan pusat latihan di sini, program latihan secara teori dan fizikal (praktikal) boleh dilaksanakan. Ia boleh menerima kemasukan pelatih bermula hari ini dan mampu memuatkan seramai 30 pelatih dalam satu-satu masa,” ujarnya.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki yang turut hadir dalam pelancaran tersebut memberitahu, kewujudan pusat latihan dan pembangunan Topcon juga menjadi peluang bagi kedua-dua negara membangunkan pengetahuan pembinaan bandar pintar.
“Malaysia dipilih sebagai hab serantau di Asia Tenggara kerana negara ini sudah pun mencapai status berpendapatan tinggi. Jadi, meskipun Jepun pernah memberikan bantuan (latihan dan teknologi), tetapi pembangunan Malaysia kini sangat pantas. Ia juga membuka lembaran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara.
“Paling penting sekali kemampanannya diperlukan Jepun untuk mengembangkan teknologi selain melabur di negara ini. Kemudian Jepun memang banyak bencana alam, pengalaman itu juga boleh dikongsi bersama, Jepun dan Malaysia ada masalah banjir, mungkin Jepun pun boleh belajar daripada Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN