Titah Adendum: Keputusan rayuan Peguam Negara diputuskan 13 Ogos

Titah Adendum: Keputusan rayuan Peguam Negara diputuskan 13 Ogos

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan Peguam Negara berhubung keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Adendum akan diputuskan pada 13 Ogos ini.

Bukti baharu itu membabitkan afidavit anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Titah Adendum tersebut adalah berkait dengan perintah tahanan Najib di rumah.

Tarikh tersebut disahkan oleh peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi semalam.

Pada 9 Julai lalu, pihak-pihak terlibat selesai berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.

Panel diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Pada 28 April lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berjaya mendapat kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan bagi merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon, terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak atas kapasitinya.

Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baharu yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.

Pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada prosiding terdahulu, Mohd. Dusuki dalam hujahannya menyatakan, Najib gagal menjalankan usaha wajar (due diligence) dalam memastikan kewujudan Titan Adendum tersebut bagi membolehkan dokumen terbabit dikemukakan ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahan balasnya menya­takan, Peguam Negara mempunyai duty of candor kepada mahkamah dan tidak boleh menyembunyikan fakta material.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN