Tiada lagi pembesar suara anti-Korea Utara di sempadan

Tiada lagi pembesar suara anti-Korea Utara di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan mula menanggalkan pembesar suara yang sebelum ini digunakan untuk menyiarkan lagu K-pop dan laporan berita ke arah Korea Utara.

Langkah itu selaras dengan usaha pentadbiran baharu di Seoul untuk meredakan ketegangan dengan negara jiran yang sering bertindak agresif.

Kedua-dua negara, yang secara teknikal masih berada dalam keadaan konflik, sudah pun menghentikan propaganda di sepanjang Zon Bebas Tentera (DMZ), menurut tentera Seoul pada Jun lalu selepas pemilihan Presiden Lee Jae Myung.

Pada masa sama, pihak berkuasa berkata, Pyongyang berhenti menyiarkan bunyi pelik dan menganggu di sepanjang sempadan, yang menganggu penduduk tempatan, sehari selepas pembesar suara Seoul dihentikan.

“Mulai hari ini, pihak tentera mula menanggalkan pembesar suara.

“Ia merupakan langkah praktikal yang bertujuan membantu meredakan ketegangan dengan Utara, selagi tindakan ini tidak menjejaskan tahap kesiapsiagaan tentera,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Lee Kyung-ho, hari ini.

Katanya, semua pembesar suara yang dipasang di sepanjang sempadan akan ditanggalkan menjelang hujung minggu ini, namun tidak mendedahkan jumlah sebenarnya.

Presiden Jae Myung, yang dipilih selepas pendahulunya dipecat berikutan pengisytiharan darurat tentera, mengarahkan tentera menghentikan siaran propaganda sebagai usaha untuk memulihkan kepercayaan.

Hubungan antara kedua-dua Korea berada pada tahap paling tegang dalam beberapa tahun lalu, dengan Seoul mengambil pendekatan tegas terhadap Pyongyang yang semakin akrab dengan Moscow susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Kerajaan terdahulu memulakan siaran tersebut tahun lalu sebagai tindak balas kepada tindakan Pyongyang yang melancarkan belon berisi sampah ke arah selatan.

Namun, Jae Myung berikrar untuk memperbaiki hubungan dengan Korea Utara dan meredakan ketegangan di Semenanjung Korea.

Meskipun usaha diplomatik digiatkan, Korea Utara tetap menolak untuk mengadakan dialog dengan jirannya.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN