PETALING JAYA: Negara memerlukan sekurang-kurangnya 50,000 hingga 60,000 taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar bagi memenuhi keperluan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berumur bawah empat tahun yang kini dianggarkan mencecah empat juta orang.
Sehingga kini, hanya terdapat 4,016 taska berdaftar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa memilih pusat jagaan tidak berlesen atau menghantar anak-anak kepada individu yang menawarkan perkhidmatan asuhan secara persendirian.
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah berkata, situasi tersebut amat membimbangkan kerana permintaan terhadap taska berdaftar jauh mengatasi penawaran sedia ada di pasaran.
“Ramai ibu bapa anggap menghantar anak ke taska jiran atau rumah asuhan sudah memadai, sedangkan tanpa latihan dan pengiktirafan, mereka hanya memberi penjagaan asas tanpa fokus kepada perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
“Menghantar anak ke taska berdaftar bukan sekadar status lesen, tetapi memastikan mereka diasuh oleh pengasuh terlatih dalam persekitaran selamat dan perkembangan anak dipantau secara profesional serta beretika,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Norsheila, pengasuh di taska berdaftar diwajibkan mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP) yang memberi latihan komprehensif merangkumi aspek penjagaan, keselamatan dan perkembangan kanak-kanak secara holistik.
Katanya, taska berdaftar juga tertakluk kepada pemantauan berkala, pemeriksaan keselamatan, pematuhan piawaian minimum serta mempunyai saluran tindakan sekiranya berlaku kecuaian atau kemalangan seperti yang tertakluk dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).
“Ibu bapa tidak seharusnya memandang ringan soal pendidikan awal kerana usia bayi hingga lima tahun adalah fasa kritikal dalam perkembangan otak dan tingkah laku anak-anak.
“Bayi dan kanak-kanak kecil memerlukan perhatian khusus dalam 1,000 hari pertama kehidupan mereka. Hanya pengasuh yang terlatih mampu memantau tumbesaran mereka dengan penuh tanggungjawab dan etika,” katanya.
Norsheila berkata, taska berdaftar juga diwajibkan mematuhi peraturan ketat Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk menyediakan menu pemakanan sihat mengikut Piramid Makanan
Malaysia selain memastikan keselamatan premis seperti stor makanan dan penyimpanan susu ibu diasingkan.
“KKM kini melaksanakan pemeriksaan berkala ke atas taska berdaftar bagi memastikan pengusaha mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan, termasuk cara penyimpanan bahan mentah, susun atur dapur serta memastikan bekalan makanan diperoleh daripada sumber yang sah dan segar.
“Peti sejuk di taska juga mesti diasingkan antara simpanan makanan dan susu ibu bagi mengelakkan pencemaran silang. Ini adalah antara standard yang sering diabaikan oleh taska tidak berdaftar kerana tiada pemantauan berkala,” katanya.
Mengulas lanjut, Norsheila berkata, antara punca utama mengapa masih ramai pengusaha tidak mendaftarkan taska ialah proses kelulusan lesen yang memerlukan pengesahan tiga agensi iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta KKM sebelum sijil JKM dikeluarkan.
Selain itu, katanya, kos pengubahsuaian premis, pemasangan alat keselamatan serta pematuhan kepada garis panduan kesihatan yang tinggi menyebabkan ramai pengusaha memilih untuk beroperasi tanpa lesen.
“Ada kawasan yang sudah mencapai kuota taska. Ini menyebabkan pengusaha tidak dapat membuka taska baharu walaupun sudah menyewa atau membeli premis. Akhirnya, mereka ambil jalan pintas dengan beroperasi secara tidak sah,” katanya.
Norsheila tidak menafikan yuran tinggi turut menjadi faktor ibu bapa, terutama daripada golongan B40 dan M40, memilih taska tidak berdaftar yang mengenakan caj lebih murah.
“Kerajaan perlu menyalurkan subsidi kepada ibu bapa, khususnya golongan B40, agar mereka mampu menghantar anak ke taska berdaftar.
“Bantuan ini penting supaya kos yuran yang semakin tinggi tidak menjadi halangan untuk mendapatkan perkhidmatan pengasuhan yang selamat dan berkualiti,” katanya.
Norsheila berkata, kerajaan melalui JKM dan persatuan seperti PPBM sentiasa terbuka membantu pengusaha yang ingin mendaftar dan bersedia untuk memberikan khidmat nasihat percuma di peringkat daerah dan negeri.
Katanya, bagi mengatasi kerumitan proses pendaftaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menubuhkan Pusat Sehenti (One-Stop Centre) di peringkat negeri dan daerah bagi membantu pengusaha taska melengkapkan syarat pendaftaran dengan lebih mudah dan cepat.
“Pengusaha tidak seharusnya menganggap proses pendaftaran sebagai satu beban, sebaliknya menganggap ia satu pelaburan jangka panjang demi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang diamanahkan kepada mereka.
“Kita bukan mahu taska tidak berdaftar ini terus ditutup. Sebaliknya, kita mahu bantu mereka melengkapkan syarat pendaftaran agar dapat beroperasi secara sah dan profesional demi masa depan anak-anak yang dijaga,” katanya. – UTUSAN










