JOHOR BAHRU: Kadar tarif eksport sebanyak 19 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia termasuk produk komoditi negara seperti kelapa sawit dianggap kompetitif dan tidak membebankan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia setanding dengan tarif dikenakan negara kuasa dunia berkenaan terhadap beberapa negara lain di rantau ini.
“Malaysia masih berada pada kedudukan baik daripada segi persaingan, kadar tarif sebanyak 19 peratus oleh AS itu juga antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN.
“Indonesia yang merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar dunia juga dikenakan kadar tarif yang sama, kita pula pengeluar sawit nombor dua dunia. Jadi tiada masalah, fair ” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada masa sama, Johari yang juga pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberitahu, pihaknya yakin jumlah tarif tersebut tidak akan menjejaskan eksport komoditi tempatan ke negara berkenaan.
“Eksport komoditi Malaysia masih mampu bersaing di pasaran antarabangsa. Saya tidak nampak masalah setakat ini atas penetapan tarif 19 peratus oleh AS,” ujarnya.
Semalam, media tempatan melaporkan Malaysia dilaporkan dikenakan tarif 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden AS, Donald Trump.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani beliau bertarikh 31 Julai 2025 itu turut dimuat naik dalam laman sesawang Rumah Putih.
Sebelum ini, Trump menetapkan kadar tarif 25 peratus untuk Malaysia sebelum difahamkan perbualan telefon antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam antara faktor yang mendorong pengurangan tarif itu.-UTUSAN.










