JERANTUT: Pusat Rekreasi Taman Tasik Teratai pinggir bandar di sini yang sering menjadi tumpuan orang awam beriadah kini tidak ceria apabila ditumbuhi semak samun di sepanjang tebing kolam tumbuhan teratai itu.
Sejak dibuka lebih sedekad lalu, taman itu antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai pengunjung sekitar taman perumahan di bandar ini beriadah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pusat rekreasi itu hilang ‘seri’ apabila terdapat tumbuhan semak samun samun di sekeliling tebing kolam teratai sehingga menganggu pemandangan.
Seorang pengunjung, Mokhti Manaf, 45, berkata, dia juga kurang selesa melihat keadaan semak samun berdekatan trek pejalan kaki.
“Keadaan ini berlawanan dengan keindahan pokok teratai yang menjulang di permukaan air dan sebahagiannya mengeluarkan bunga yang menarik mata memandang.
“Saya berharap pihak berwajib dapat membersihkan persekitaran tebing kawasan tasik ini supaya landskapnya kelihatan menarik dan pengunjung lebih selesai,” katanya.
Seorang warga emas, Anuar Rahman, 63, berkata, kawasan rekreasi yang turut kerap menjadi tumpuan pesara kerajaan dan warga emas itu sepatutnya diuruskan dengan baik keceriaan landskapnya.
“Semak samun jika dibiarkan tumbuh memang mewujudkan pemandangan tidak ceria. Begitu juga di tengah tasik yang dipenuhi dengan daun teratai yang menjalar jika tidak dibersihkan,” katanya.-UTUSAN.










