PUTRAJAYA: Pihak pentadbir sekolah atau mana-mana institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) boleh menutup premis masing-masing sekiranya berlaku status suhu harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut di kawasan terlibat bagi cuaca panas.
Status suhu harian itu adalah pada tahap Amaran Kedua dan diisytiharkan heatwave oleh METMalaysia.
Langkah penutupan institusi pendidikan itu adalah berdasarkan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan KPM sejak 2023 yang boleh diguna pakai untuk situasi semasa.
Menurut garis panduan itu, langkah penutupan institusi pendidikan terlibat tidak perlu menunggu arahan KPM, tetapi pihak pentadbir hendaklah memaklumkan kepada Pendaftar iaitu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan serta-merta secara lisan dan bertulis menggunakan apa-apa medium yang sesuai.
“Pentadbir hendaklah mengemukakan surat pemakluman rasmi kepada Pendaftar berhubung penutupan institusi pendidikan serta-merta atas sebab status suhu harian bagi cuaca panas pada tahap Amaran Kedua.
“Surat pemakluman tersebut hendaklah dilampirkan bersama dokumen sokongan yang menjelaskan tentang proses penilaian risiko dijalankan sebelum keputusan menutup institusi pendidikan dibuat oleh pentadbir,” jelas garis panduan itu.
Selain itu, pihak pentadbir hendaklah memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga berkaitan keputusan penutupan dan pembukaan institusi pendidikan.
Pada masa sama, pentadbir perlu memaklumkan tarikh hari ganti yang ditetapkan bagi menggantikan hari institusi pendidikan yang ditutup.
“Walau bagaimanapun, hari ganti tidak perlu diadakan sekiranya diluluskan oleh Pendaftar untuk tidak diganti,” katanya.
KPM menjelaskan, garis panduan ini dihasratkan dapat memastikan pengurusan penutupan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara teratur.
Dalam mempertimbangkan penutupan institusi pendidikan, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan komuniti institusi pendidikan.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, sekolah-sekolah di beberapa daerah di Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah bersedia ditutup berikutan cuaca panas luar biasa dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius yang dicatatkan di enam lokasi di negara ini yang kian meresahkan rakyat.-UTUSAN










